Isnin, 23 September 2019 | 2:36pm
- Foto hiasan

Remaja lelaki mengaku salah rogol gadis bawah umur

KUALA TERENGGANU: Remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol gadis bawah umur berusia 14 tahun, tahun lalu.

Tertuduh berusia 18 tahun membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun di sebuah rumah di Bukit Payong, Marang, jam 1 pagi pada 21 Jun 2018.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama di alamat sama pada jam 12.35 tengah malam dan jam 3.05 pagi pada 27 Jun tahun sama.

Pertuduhan keempat, tertuduh didakwa merogol mangsa di dalam tandas di luar sebuah rumah di Bukit Payong, Marang, antara jam 10 malam hingga jam 11 malam pada 11 Julai tahun sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 29 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X