Isnin, 23 September 2019 | 3:27pm
SAKSI pendakwaan, Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, hadir ketika perbicaraan bersambung bagi kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Pesanan Jho Low, kehendak Najib

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu pesanan dan kehendak yang dikemukakan Low Taek Jho atau Jho Low dalam urusan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah konsisten dengan apa yang dimahukan Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangannya berkata, pesanan yang diterimanya daripada Jho Low konsisten dengan maklum balas diterima daripada Najib sendiri melalui Minit Mesyuarat dan secara lisan.

Shahrol Azral yang juga saksi kesembilan pendakwaan perbicaraan kes 1MDB yang masuk hari ke-11, berkata dalam operasi 1MDB, Jho Low beberapa kali menyampaikan kehendak Najib.

Bagaimanapun oleh kerana ia membabitkan keputusan besar, saksi berkata beliau merujuk semula secara bertulis kepada Najib untuk mengesahkan kehendak berkenaan.

“Jho Low tidak mempunyai kuasa formal dalam tadbir urus TIA namun beliau boleh mempengaruhi keputusan di peringkat Eksekutif kerana mewakili kedua-dua pihak atasan iaitu Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (Kerajaan Negeri Terengganu) dan Datuk Seri Najib Razak (Kerajaan Persekutuan).

“Saya melihat Jho Low sejak dari awal lagi bertindak sebagai penasihat dalam menjaga kepentingan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan terutamanya dari sudut pelaburan dan mengumpul dana,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.

Berita Harian X