Isnin, 23 September 2019 | 4:03pm
SAKSI pendakwaan, Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, hadir bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
SAKSI pendakwaan, Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, hadir bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Jho Low rapat dengan Najib - Shahrol Azral

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low, mempunyai hubungan yang rapat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata beliau melihat perhubungan itu ketika Najib menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata, pandangan beliau berhubung hubungan rapat itu adalah berlandaskan beberapa perkara seperti tindakan Jho Low sepanjang menerima arahan Najib.

“Saya yakin setiap arahan yang dilaksanakan sudah dipersetujui dan diluluskan Najib. Malahan, saya yakin Najib menurunkan mandat kepada Jho Low untuk merancang dan mengatur operasi Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) yang kemudian dikenali 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

“Saya juga melihat beliau sebagai fasilitator (pemudahcara) di antara Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Najib yang mewakili Kerajaan Pusat. Namun, beliau (Jho Low) memang orang penting Najib dan menjaga kepentingan Najib.

“Saya nampak Jho Low ada perhubungan secara langsung dengan Najib. Sebagai contoh, ketika mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TIA, beliau boleh terus menghubungi Najib melalui telefon untuk meminta pandangan,” katanya yang membacakan pernyataan saksi.

Shahrol Azral berkata, Jho Low juga mempunyai akses untuk bertemu Najib di rumah bekas perdana menteri itu sama ada di Jalan Langgak Duta di sini atau di Sri Satria, Putrajaya iaitu kediaman rasmi Najib ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Contohnya, pada Mac 2009, Jho Low ada meminta saya berjumpa CEO Mubadala Petroleum di kediaman rasmi Najib di Sri Satria...jelas dilihat bawa Jho Low memang mempunyai akses secara terus kepada Najib,” katanya.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Berita Harian X