Isnin, 23 September 2019 | 4:12pm
SAKSI pendakwaan, Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, hadir ketika perbicaraan bersambung bagi kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Jho Low cadang nama Shahrol Azral CEO TIA

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low mencadangkan nama Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi kepada Sultan Terengganu yang juga Yang di-Pertuan Agong Ke-13 (ketika itu), Sultan Mizan Zainal Abidin, untuk dilantik sebagai salah seorang pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA).

Shahrol Azral yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu, berkata Baginda yang juga Pengerusi TIA ketika itu memperkenankan pelantikan beliau sebagai CEO di TIA.

Saksi kesembilan itu yang membacakan pernyataan saksi, berkata pada 21 Mac 2009, beliau dihubungi Jho Low yang memintanya hadir ke Istana Terengganu di Kuala Lumpur pada petang itu juga.

“Selepas menerima panggilan itu, saya terus ke Istana Terengganu yang terletak di Jalan Kia Peng.

“Pada ketika itu saya mendapat tahu yang sebenarnya Jho Low mencadangkan nama saya kepada Tuanku Mizan untuk jawatan CEO,” katanya.

Shahrol Azral berkata, pada 23 Mac 2009 beliau dilantik secara rasmi oleh TIA menerusi Resolusi Ahli Lembaga Pengarah (Director’s Circular Resolution) yang ditandatangani oleh Pengarah TIA, Tan Sri Bakke Salleh.

Katanya, sebaik menyertai TIA, beliau membuat beberapa kajian sendiri untuk mengenali syarikat itu.

“Daripada kajian yang dilakukan, saya mendapat tahu bahawa TIA mula ditubuhkan pada 27 Februari 2009 dengan modal permulaan sebanyak RM2.

“Idea penubuhan TIA dimulakan oleh Tuanku Mizan dan penasihat TIA, Jho Low... ia lanjutan daripada lawatan yang dibuat ke Syarikat Mubadala di Abu Dhabi.

“Selepas itulah terbitnya idea Tuanku Mizan untuk mewujudkan ‘sovereign wealth fund’ seperti yang dimiliki oleh Abu Dhabi,” katanya.

Beliau berkata, fakta itu hanya diketahui melalui perbualan dengan Jho Low pada awal pembabitannya dalam TIA.

Saksi itu berkata, sejak dilantik sebagai Pengarah dan CEO di TIA, beliau dimaklumkan oleh Jho Low dan Pengarah Eksekutif, Casey Tang bahawa di awal penubuhan TIA lagi terdapat cadangan untuk Kerajaan Persekutuan mengeluarkan Jaminan Kerajaan bagi menambahkan dana dalam TIA.

Katanya, kerajaan Terengganu pula akan menyuntik dana sebanyak RM6 bilion melalui ‘securitizition’ (pensekuritian) wang ehsan atau royalti minyak.

“Pada masa ini, peranan Perdana Menteri adalah sebagai mewakili Kerajaan Persekutuan dalam menjaga kepentingan Kerajaan Persekutuan.

“Ini apa yang dinyatakan Jho Low dan Casey Tang kepada saya sebagai maklum balas kepada persoalan saya mengenai peranan Kerajaan Persekutuan di dalam TIA,” katanya.

Berita Harian X