Isnin, 23 September 2019 | 5:20pm
SAKSI pendakwaan, Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Peranan Jho Low sebagai perunding pengeluaran bon Islamik TIA dipersoal

KUALA LUMPUR: Peranan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, pernah menimbulkan keraguan dalam kalangan perunding ketika proses perbincangan bagi pengeluaran Islamic Medium Term Notes (IMTN) (Bon Islamik) diadakan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, menerusi kenyataan saksi, berkata Jho Low sentiasa berperanan aktif dalam perbincangan pengeluaran IMTN ketika pembentangan oleh perunding.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan oleh perunding berhubung peranan Jho Low kerana ahli perniagaan itu bukan penasihat rasmi TIA.

“Saya merasakan teguran (oleh perunding) itu mempunyai asas dan saya kemudian memaklumkan kepada Jho Low dan dia kemudian mendapatkan pandangan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Jho Low memaklumkan kepada saya bahawa Tuanku (Mizan) bersetuju untuk melantik dua nama iaitu Jho Low dan Datuk Abdul Aziz Mohd Akhir untuk menjadi penasihat TIA secara lantikan rasmi,” katanya.

Sehubungan itu, saksi kesembilan pendakwaan itu berkata beliau kemudian membawa cadangan terbabit kepada Ahli Lembaga Pengarah (BOD) untuk diluluskan.

“Dalam mesyuarat BOD pada 15 April 2009, ia menumpukan kepada proses mendapatkan bon IMTN berjumlah RM5 billion.

“Jho Low turut hadir dalam mesyuarat itu. ..Saya tidak ingat butiran terperinci apa yang disuarakan Jho Low dalam mesyuarat terbabit tetapi secara kasarnya ia berkaitan dengan permohonan Jaminan Kerajaan (GG).

“Pada April 2009 juga TIA membuat pembentangan kepada Kementerian Kewangan bagi menjelaskan mengenai permohonan GG untuk terbitan bon IMTN.

“Pihak TIA diwakili oleh saya, Jho Low dan Datuk Abdul Aziz termasuk wakil AmInvestment Bank manakala pihak Kementerian Kewangan diwakili Datuk Siti Zauyah, Datuk Ahmad Badri dan pegawai dari Bahagian Pinjaman Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pada 5 Mei 2009, pihaknya menerima surat maklum balas daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberikan surat jaminan yang diperlukan bagi terbitan IMTN kepada TIA.

Berita Harian X