Isnin, 23 September 2019 | 11:14pm
Seorang lelaki ditemui mati dengan tiga kesan tikaman di bahagian hadapan badan dan belakang di hadapan rumah kedai tiga tingkat di Lapangan Siber 1, Bandar Siber Botani malam ini. - NSTP/Muhaizan Yahya

Lelaki ditemui dengan tiga kesan tikaman

IPOH: Seorang lelaki ditemui mati dengan tiga kesan tikaman di bahagian hadapan badan dan belakang di hadapan rumah kedai tiga tingkat di Lapangan Siber 1, Bandar Siber Botani malam ini.

Mayat Kiranjeet Singh Puram Singh, 45 ditemui dalan keadaan terlentang berlumuran darah kira-kira jam 8.05 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah, berkata pihaknya menerima maklumat ada pergaduhan di hadapan kedai menjual aksesori kenderaan di tempat kejadian.

Katanya, sebaik saja polis tiba, pihaknya mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan disahkan meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan pada badan mangsa, terdapat tikaman iaitu dua di bahagian hadapan dan satu di belakang. Kita syaki mangsa ditikam menggunakan senjata tajam,” katanya ketika ditemui di sini malam ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut belum menemui sebarang senjata tajam dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

“Siasatan turut mendapati mangsa baru dua hari menyewa di tingkat atas kedai aksesori berkenaan,” katanya.

Mohd Nordin berkata, polis mengesan seorang lagi individu dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan meminta orang awam atau saksi kejadian supaya menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X