Isnin, 23 September 2019 | 11:35pm
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (kanan). - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Najib beri Jho Low mandat atur operasi TIA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menurunkan mandat kepada Jho Low untuk merancang dan mengatur operasi Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA), yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata beliau yakin setiap arahan yang dilaksanakan sudah dipersetujui dan diluluskan oleh Najib (melalui mandat yang diberikan itu).

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, beliau melihat Jho Low sebagai fasilitator (pemudah cara) di antara Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (Pengerusi TIA) dan Najib yang mewakili Kerajaan Pusat.

Namun, katanya, Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho, memang orang penting dan menjaga kepentingan Najib.

“Saya nampak Jho Low ada perhubungan secara langsung dengan Najib. Sebagai contoh, ketika mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) TIA, beliau boleh terus menghubungi Najib melalui telefon untuk meminta pandangan,” katanya yang membacakan pernyataan saksi.

Shahrol Azral berkata, Jho Low juga mempunyai akses untuk bertemu Najib di rumah bekas perdana menteri itu, sama ada di Jalan Langgak Duta di sini atau di Sri Satria Putrajaya, iaitu kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri.

“Sebagai contoh, pada Mac 2009, Jho Low ada meminta saya berjumpa CEO Mubadala Petroleum di Sri Satria. Jelas dilihat bahawa Jho Low memang mempunyai akses secara terus kepada Najib,” katanya

Menurut saksi itu, Jho Low juga sangat rapat dengan Najib ketika Najib menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Beliau berkata, pandangannya mengenai hubungan rapat itu berlandaskan beberapa perkara seperti tindakan Jho Low sepanjang menerima arahan Najib.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, pada sesi pemeriksaan utama, saksi itu berkata hubungan rapat itu dapat dilihat ketika Jho Low membawanya ke kediaman rasmi Najib di Putrajaya.

“Ketika itu, Najib sudah menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri tetapi kediaman yang dibawa oleh Jho Low ialah kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri (Sri Satria) kerana beliau belum berpindah.

“Berdasarkan pemerhatian saya pada ketika itu, Jho Low membawa saya masuk ke dalam rumah Najib dan kelihatannya dia seperti sudah biasa dengan selok-belok kediaman Najib.

“Sejurus tiba di pagar kediaman rasmi itu, Jho Low terus mendapat akses untuk masuk ke dalam kawasan kediaman berkenaan,” katanya.

Shahrol Azral berkata, pesanan dan kehendak yang dikemukakan Jho Low dalam urusan TIA konsisten dengan apa yang dikehendaki Najib, malah konsisten dengan maklum balas diperoleh daripada Najib sendiri melalui Minit Mesyuarat dan secara lisan.

Bagaimanapun, oleh kerana ia membabitkan keputusan besar, saksi berkata, beliau merujuk semula secara bertulis kepada Najib untuk mengesahkan kehendak berkenaan.

“Jho Low tiada kuasa formal dalam tadbir urus TIA, namun beliau boleh mempengaruhi keputusan peringkat eksekutif kerana mewakili kedua-dua pihak atasan iaitu Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (Kerajaan Negeri Terengganu) dan Najib (Kerajaan Persekutuan).

“Saya melihat Jho Low sejak dari awal lagi bertindak sebagai penasihat dalam menjaga kepentingan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan, terutama dari sudut pelaburan dan mengumpul dana,” katanya.

Berita Harian X