Selasa, 24 September 2019 | 3:52pm
SEORANG bapa kepada empat anak berusia 41 tahun mengaku tidak bersalah atas dakwaan merogol anak sulungnya, 12, di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. NSTP/Imran Makhzan.

Bapa tak mengaku rogol anak hingga hamil

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa empat anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap dua tuduhan merogol anak perempuannya berusia 12 tahun sehingga hamil, pada Julai dan Ogos lalu.

Tertuduh berusia 41 tahun yang berasal dari bandar raya ini membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan merogol anak perempuannya itu antara jam 3 hingga 4 pagi pada pertengahan Julai hingga awal Ogos lalu di sebuah rumah di daerah ini.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mengulangi perbuatan sama antara jam 3 hingga 4 pagi pada 17 Ogos lalu di lokasi sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Dzulaikha Mohamad.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Oktober depan untuk tarikh sebutan semula kes dan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Mangsa yang juga anak sulung dari empat beradik itu didapati muntah dan loya ketika menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Pemeriksaan di sebuah hospital di bandar raya ini mendapati mangsa kini hamil tujuh minggu dan susulan itu ibu mangsa membuat laporan polis sebelum suaminya ditahan pada 12 September lalu.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak menjadi mangsa nafsu serakah bapa sendiri apabila dia beberapa kali dirogol, terutama ketika ibu mangsa keluar menjaga nenek kanak-kanak berkenaan yang dikatakan tinggal berdekatan rumah mereka.

Hasil saringan ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan memiliki rekod lampau berhubung kes pecah amanah.

Berita Harian X