Selasa, 24 September 2019 | 5:58pm
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/Hafiz Sohaimi

Najib suruh ikut arahan Jho Low bawa balik dana 1MDB - saksi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengikut arahan ahli perniagaan, Jho Low, untuk membawa balik dana syarikat itu yang dilaburkan dalam syarikat PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi).

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, berkata walaupun Najib tidak memberikan arahan secara langsung, tetapi bekas perdana menteri itu ‘membayangkan’ demikian (ikut arahan Jho Low) setiap kali beliau (Shahrol Azral) bertanyakan mengenai perkara itu.

Shahrol Azral yang juga saksi pendakwaan kesembilan berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, pada sesi pemeriksaan balas.

Sri Ram: Adakah tertuduh (Najib) beritahu kamu untuk mengikut arahan Jho Low?

Shahrol Azral: Najib tidak pernah beritahu saya secara langsung untuk ikut arahan Jho Low, bagaimanapun beliau ‘membayangkan’ demikian beberapa kali ketika saya bertanya kepadanya untuk membawa balik dana itu.

Ia berlaku pada tahun 2010 atau 2011 apabila Najib beritahu saya untuk bercakap dengan Jho Low.

Sementara itu, Shahrol Azral yang membacakan pernyataan saksi, berkata cadangan bagi menukarkan nama Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) kepada 1MDB dibuat melalui surat bertarikh 25 Jun 2009.

Shahrol Azral berkata, cadangan pertukaran nama itu berdasarkan maklum balas daripada seorang Ahli Lembaga Penasihat TIA, iaitu Khaldoon Khalifa Al-Mubarak dengan mengikut acuan syarikat Mubadala Development dari Abu Dhabi.

Saksi itu berkata, surat berkenaan dihantar kepada Najib sebagai butiran cadangan pertukaran nama syarikat terbabit.

Merujuk kepada surat itu, Shahrol Azral berkata, TIA memaklumkan kepada Najib supaya melancarkan model baharu ekonomi di mana rakyat Malaysia akan menerima manfaat daripadanya.

“Saya tidak terbabit di dalam mana-mana perbincangan awal mengenai kandungan surat ini. Saya bagaimanapun percaya bahawa perkara itu turut dibincangkan antara Najib, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Unit Perancang Ekonomi) dan Jho Low.

“Saya dan Jho Low yang menyediakan surat itu manakala selaku CEO, saya turut menandatangani surat berkenaan.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Tan Sri Nor diberi tanggungjawab oleh Najib untuk menguruskan pertukaran TIA kepada MDB,” katanya.

“TIA turut meminta maklum balas daripada Lembaga Penasihat mengenai pertukaran konsep daripada TIA kepada MDB mengikut acuan daripada Mubadala” katanya.

“Saya pernah menemui Khaldoon dalam beberapa pertemuan di Abu Dhabi dan ketika Khaldoon datang ke Malaysia untuk lawatan pada Oktober 2010.

“Khaldoon sedia maklum bahawa beliau adalah seorang Ahli Lembaga Penasihat dalam 1MDB tetapi tidak pernah ada mesyuarat rasmi BOA TIA yang ada kehadiran beliau,” katanya.

Shahrol Azral berkata, sehubungan itu, Menteri Besar Diperbadankan Terengganu (MBI Inc) bersetuju untuk melepaskan kawalan serta pegangan ekuiti dalam TIA di mana Kementerian Kewangan akan mengambil alih kawalan dan ekuiti yang dilepaskan.

Katanya, Kementerian Kewangan (MOF) akan mengambil alih kawalan dan ekuiti yang dilepaskan oleh MBI Inc.

Berita Harian X