Rabu, 25 September 2019 | 11:07am
Saksi pendakwaan, Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, hadir ketika perbicaraan bersambung bagi kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Najib pembuat keputusan tertinggi - Bekas CEO 1MDB

KUALA LUMPUR: Penggunaan perkataan ‘Kerajaan Malaysia’ dalam Artikel Pelantikan Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditukar kepada ‘Perdana Menteri’ berikutan kuasa tertinggi berkenaan dipegang Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Penukaran perkataan itu diarahkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Justeru, sebarang keputusan dibuat pada peringkat Eksekutif dan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) perlu mengambil kira keputusan Perdana Menteri membabitkan kewangan, pelaburan, penstrukturan semula, kepentingan, keselamatan dan dasar negara.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dalam keterangan pada hari ke-13 perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, berkata penggantian perkataan ‘Kerajaan Malaysia’ kepada ‘Perdana Menteri’ dibuat pada 11 Ogos 2009.

Shahrol Azral berkata, sebagai CEO atau pelaksana perjalanan syarikat, beliau perlu mengambil kira kehendak Perdana Menteri yang mewakili Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, setiap urusan syarikat yang memberi akibat terhadap kewangan negara perlu mengikut kehendak wakil Kerajaan Persekutuan, iaitu Perdana Menteri pada masa itu.

“Saya ingat penukaran daripada ‘Federal Government of Malaysia (Kerajaan Malaysia) kepada ‘Prime Minister (Perdana Menteri) adalah arahan daripada Jho Low.

“Jho Low memberitahu bahawa Najib mahukan penukaran itu bagi memastikan tiada ‘ambiguity’ bahawa punca kuasa 1MDB ialah Perdana Menteri Malaysia saja,” katanya.

Beliau yang merujuk Artikel 68 bawah klausa pelantikan Pengarah, menjelaskan bahawa setiap pelantikan dan pengguguran pengarah tidak boleh dilakukan tanpa kelulusan bertulis daripada Perdana Menteri.

Mengikut Artikel 93 (1) pula, Shahrol Azral menjelaskan, setiap Ahli Lembaga Penasihat (BOA) dilantik oleh Pengerusi Lembaga Penasihat yang juga Perdana Menteri.

“Lembaga Penasihat atau BOA bertanggungjawab memberi nasihat mengenai urusan pelaburan dan perniagaan 1MDB.

“Justeru, pelantikan dan pengguguran pengarah dan pengurusan kanan perlu mendapat kelulusan bertulis daripada Perdana Menteri.

“Selain itu, apa-apa berkaitan urusan kewangan dan pelaburan syarikat yang membabitkan kepentingan negara, keputusan dibuat oleh Perdana Menteri.

“Sepanjang saya bertugas sebagai CEO dan Pengarah di TIA serta 1MDB, saya sentiasa mendapatkan mandat dan maklum balas daripada Pengerusi Lembaga Penasihat merangkap Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, iaitu Najib (ketika itu),” katanya.

Dalam pernyataan saksinya, Shahrol Azral menerangkan bahawa sebagai CEO, Najib didapati adalah pembuat keputusan tertinggi atau ‘ultimate power’ (kuasa mutlak), terutama membabitkan pelaburan besar, kewangan (dana) dan dasar negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi keputusan yang perlu diambil tindakan segera, saksi kesembilan pendakwaan itu akan mendapatkan pandangan Jho Low sebagai penasihat tidak rasmi TIA dan 1MDB supaya beliau boleh mendapatkan nasihat daripada Najib untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X