Rabu, 25 September 2019 | 7:47pm
ANGGOTA bomba dan polis mengangkat mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan di hadapan surau Jalan Kampung Teluk Binasa, Gunung Keriang. NSTP/Ihsan Bomba

Anggota polis maut kereta terbabas ke sungai

ALOR SETAR: Seorang anggota polis maut selepas kereta dinaiki bersama isteri dan dua anaknya terbabit dalam kemalangan sebelum terbabas ke dalam sungai di Jalan Gunung Keriang di sini, petang tadi.

Dalam kejadian pada jam 4.30 petang, Konstabel Khairil Izat Romli, 34, dari Kampung Pantai Jamai, Langgar, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.40 petang berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi pada jam 4.52 petang bersama dua jentera dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Setibanya di lokasi didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan termasuk sebuah lori dipercayai berlanggar antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan itu katanya, kereta Proton Wira yang dipandu mangsa terbabas ke dalam sungai berhampiran.

Mangsa yang memandu kereta itu dipercayai tersepit di tempat duduk pemandu dan anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkannya dengan menggunakan peralatan khas.

Katanya, isteri dan dua anak mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam sebelum pihak bomba tiba.

“Bagaimanapun pemandu kereta itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai Perubatan hospital yang tiba di lokasi,” katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, isteri mangsa dipercayai mengalami kecederaan di kepala manakala dua anak mangsa mengalami kecederaan di kaki.

Katanya, mereka kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Berita Harian X