Khamis, 26 September 2019 | 11:03am
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

1MDB buat pengeluaran RM715 juta bangunkan TRX

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) membuat ‘drawdown’ (pengeluaran) sebanyak RM715 juta daripada Syndicated Term Loan (STL) untuk projek Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) yang kini dikenali Tun Razak Exchange (TRX).

Bagaimanapun, perbelanjaan projek itu mengikut fasa yang dirancang di mana jumlah RM715 juta itu bukan untuk dibelanjakan sekaligus.

Perkara itu diberitahu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Shahrol Azral berkata, pengeluaran itu dibuat pada 7 Mac 2011 dan beliau menandatangani surat untuk proses pengeluaran wang berkenaan.

Pada masa sama katanya, beliau menerima satu lagi permintaan ‘drawdown’ berjumlah AS$750 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid, pada 11 Mac 2011.

“Saya terus berbincang mengenai ‘drawdown’ dengan Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) dan meminta pandangan beliau sama ada Najib benar-benar bersetuju dengan pelaburan itu atau tidak.

“Dalam perbincangan saya dengan Jho Low, beliau memberi cadangan untuk membuat Minit Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat (CBOA) 1MDB yang mengandungi keputusan Najib mengenai isu ini,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama Jho Low ada memberikan cadangan untuk 1MDB membuat pelaburan di dalam sektor hotel di United Kingdom bersama pihak Aabar Investment.

Katanya, cadangan itu turut dimasukkan ke dalam minit terbabit yang disediakan Jho Low dan ahli perniagaan itu turut mendapatkan tandatangan serta kelulusan Najib untuk penambahan pelaburan AS$750 juta melalui usahasama 1MDB dan PSI.

“Minit yang ditandatangani diberikan kepada saya di pejabat 1MDB...Saya menandatangani minit ini sebagai secretary (setiausaha) selepas melihat tandatangan Najib,” katanya.

Shahrol Azral turut mengesahkan minit bertarikh 30 Mac 2011 itu.

“Dalam minit itu, Najib bersetuju untuk 1MDB memberikan pinjaman sebanyak AS$750 juta kepada PSI tertakluk kepada 1MDB mendapatkan pinjaman RM3 bilion daripada PERKESO.

“Ia juga bagi membolehkan Najib memberi tumpuan kepada projek Maybourne Hotel Group (projek ambil alih hotel di London yang diterajui oleh Jho Low), SRC dan KLIFD.

“Selepas saya menandatangani minit itu, saya menyimpan minit ini dan memaklumkan kepada BOD (Ahli Lembaga Pengarah) dalam mesyuarat 4 April 2011 di mana Najib bersetuju untuk 1MDB menambahkan pelaburan dengan PSI.

“Ingin saya nyatakan bahawa cadangan projek Maybourne Hotel Group ini tidak pernah dirancangkan atau dibincangkan oleh BOD 1MDB, dan saya percaya yang Jho Low cuma mahu menggunakan nama 1MDB untuk bidaan hotel berkenaan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X