Khamis, 26 September 2019 | 2:02pm

Datuk 'Maimunah' dipenjara 3 tahun, denda RM1.75 juta

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan wanita warga Vietnam bergelar Datuk, dihukum penjara tiga tahun dan didenda RM1.75 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan memberi rasuah RM350,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dua tahun lalu.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu terhadap Datuk Tran Thi Mai, 43, atau nama gelarannya, Maimunah, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes itu.

“Mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal memberikan penjelasan untuk mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Mahkamah berharap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan warga negara asing lain tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dengan hukuman penjara bagi kedua-dua sabitan berjalan serentak.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda lima kali nilai suapan (RM1.5 juta) atau gagal bayar 12 bulan penjara.

Pertuduhan kedua pula, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda lima kali nilai suapan (RM250,000) atau gagal bayar enam bulan penjara.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah memberi wang berjumlah RM300,000 kepada Muhammad Sani Abdullah, 31, bagi pihak Amran Daud, 55, iaitu Pengarah Maritim Daerah Sedili, Johor.

Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk melepaskan tiga bot nelayan Vietnam ditahan Maritim Malaysia Tanjung Sedili, Kota Tinggi, kerana disyaki melakukan kesalahan menceroboh perairan Malaysia untuk menangkap hasil laut.

Wanita itu dituduh melakukan kesalahan itu di Hot Gossip Cafe, Hotel Park Royal, Jalan Bukit Bintang, di sini, antara jam 6.30 petang dan 7.30 malam, 2 Mei lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua mengikut seksyen sama, Tran didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan rasuah berjumlah RM50,000, bagi melepaskan sebuah bot nelayan Vietnam dan kesalahan itu dilakukan di Restoran Starbucks, Pearl Point Shopping Mall di sini, pada jam 4 petang, 12 Mei lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon hukuman berat dengan alasan kesalahan rasuah dilakukan tertuduh adalah serius.

“Saya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan memberi pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat untuk tidak mengulangi kesalahan rasuah ini,” katanya.

Tertuduh diwakili peguam Haijan Omar memohon hukuman penjara dan denda minimum kerana anak guamnya tiada kesalahan lampau juga ibu tunggal empat anak.

“Anak guam saya tinggal di sini dua tahun lalu dan tidak berniat jahat,” katanya.

Dalam prosiding sama, Haijan memberitahu mahkamah pihaknya akan memfailkan notis penangguhan hukuman.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan itu dan sekiranya mahkamah membenarkan penangguhan hukuman, pendakwaan memohon jumlah jaminan dinaikkan dan pasport disimpan oleh mahkamah.

Mahkamah kemudian menolak penangguhan hukuman itu.

Perbicaraan kes itu bermula pada akhir Disember 2017 dengan 38 saksi pendakwaan dipanggil dan lima saksi pembelaan tampil memberi keterangan.

Berita Harian X