Khamis, 26 September 2019 | 6:08pm
PEGUAM Negara, Tommy Thomas. NSTP/Saifullizan Tamadi.

22 November bicara rayuan Peguam Negara

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan Peguam Negara untuk menukar semula notis rayuan jenayah kepada rayuan sivil berhubung prosiding komital (menghina mahkamah) yang difailkan bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid.

Peguam mewakili Mohd Kassim, Abi Mursyidin Awal, berkata dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu petang ini, ia bermakna prosiding rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner sebelum ini yang membenarkan permohonan komital yang difailkan oleh Mohd Kassim terhadap Tan Sri Tommy Thomas berhubung punca kematian Muhammad Adib, diteruskan sebagai rayuan jenayah.

Katanya, ia seperti diputuskan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi ketika pengurusan kes itu pada Isnin lalu.

Beliau berkata, pada prosiding hari ini juga Hakim Datuk Meor Hashimi Abd Hamid menetapkan 22 November depan sebagai tarikh perbicaraan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner pada 27 Ogos lalu.

“Pada tarikh berkenaan juga, akan didengar bersama permohonan pihak responden untuk membatalkan notis rayuan yang difailkan pihak Peguam Negara sebelum ini,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Abi Mursyidin berkata, Meor Hashimi turut memerintah plaintif memfailkan petisyen rayuan pada atau sebelum 7 Oktober serta memfailkan afidavit jawapan pada atau sebelum 10 Oktober ini.

Katanya, Meor Hashimi juga turut menetapkan 24 Oktober depan sebagai tarikh untuk pihak responden dan plaintif memfailkan hujahan manakala tarikh keputusan ditetapkan pada 25 November.

Terdahulu, pagi tadi, pihak plaintif membuat permohonan lisan supaya rayuan jenayah yang diputuskan Isnin lalu ditukar kepada rayuan sivil.

Pada 16 Julai lalu, Mohd Kassim, 64, memfailkan permohonan perintah komital terhadap Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Pemfailan komital itu dibuat berikutan afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara dan disahkan oleh bekas Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah menyatakan bahawa kematian Muhammad Adib bukan akibat dipukul oleh mana-mana orang, pada 3 April lalu.

Berikutan itu, ia didakwa menghina mahkamah kerana ketika itu prosiding inkues masih berjalan dan tiada sebarang keputusan dibuat.

Berita Harian X