Khamis, 26 September 2019 | 7:26pm

Datuk Maimunah dipenjara tiga tahun, denda RM1.75 juta rasuah APMM

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan wanita warga Vietnam bergelar Datuk, dihukum penjara tiga tahun dan didenda RM1.75 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dua tahun lalu.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu terhadap Datuk Maimunah atau nama sebenarnya Tran Thi Mai, 43, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir pembelaan kes itu.

“Mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal memberikan penjelasan untuk mematahkan anggapan mengikut Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Mahkamah berharap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan warga asing lain supaya tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda lima kali nilai suapan (RM1.5 juta) atau penjara 12 bulan jika gagal membayarnya.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda lima kali nilai suapan (RM250,000) atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh jatuh hukum pada hari ini dan hukuman penjara berjalan serentak.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah memberi wang RM300,000 kepada Muhammad Sani Abdullah, 31, bagi pihak Amran Daud, 55, yang juga Pengarah Maritim Daerah Sedili, Johor.

Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk melepaskan tiga bot nelayan Vietnam ditahan APMM Tanjung Sedili, Kota Tinggi, disyaki melakukan kesalahan menceroboh perairan Malaysia untuk menangkap hasil laut.

Wanita itu dituduh melakukan kesalahan itu di Hot Gossip Cafe, Hotel Park Royal, Jalan Bukit Bintang, di sini, antara jam 6.30 petang hingga jam 7.30 malam, 2 Mei lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, Tran didakwa melakukan perbuatan sama berjumlah RM50,000, bagi melepaskan sebuah bot nelayan Vietnam, di Restoran Starbucks, Pearl Point Shopping Mall di sini, pada jam 4 petang, 12 Mei lalu mengikut seksyen sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon hukuman berat dengan alasan kesalahan rasuah dilakukan tertuduh adalah serius.

“Saya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan memberi pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat untuk tidak mengulangi kesalahan rasuah ini,” katanya.

Tertuduh diwakili peguam Haijan Omar memohon hukuman penjara dan denda minimum kerana anak guamnya tiada kesalahan lampau, selain ibu tunggal empat anak.

Pada prosiding sama, Haijan memberitahu mahkamah pihaknya akan memfailkan notis penangguhan hukuman.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan itu dan jika mahkamah membenarkan penangguhan hukuman, pendakwaan memohon jumlah jaminan dinaikkan dan pasport disimpan mahkamah.

Mahkamah bagaimanapun menolak penangguhan hukuman itu. Perbicaraan kes itu bermula Disember 2018 dengan 38 saksi pendakwaan dipanggil dan lima saksi pembelaan tampil memberi keterangan.

Berita Harian X