Jumaat, 27 September 2019 | 11:53am
TIMBALAN Pengarah Forensik/Databank/DNA/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim.- Foto BERNAMA
TIMBALAN Pengarah Forensik/Databank/DNA/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim.- Foto BERNAMA

3 lelaki keluar kenyataan hasutan ditahan

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki yang memuat naik kenyataan berunsur hasutan dan perkauman di Facebook, susulan kejadian amuk seorang lelaki yang maut ditembak polis di sebuah kilang di Pulau Pinang, Isnin lalu, ditahan polis semalam.

Timbalan Pengarah Forensik/Databank/DNA/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim, berkata ketiga-tiganya ditahan di Pulau Pinang dan Kedah antara jam 1.15 tengah hari semalam hingga jam 12.27 tengah malam tadi.

Katanya, tiga individu itu masing-masing berusia 28, 32 dan 42 tahun ditahan susulan tiga laporan polis yang diterima sejak kelmarin.

“Suspek pertama berusia 32 tahun ditahan di Butterworth, Pulau Pinang oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada jam 1.15 tengah hari.

“Suspek seorang penganggur adalah pemilik akaun Facebook Dun Lunas ditahan susulan laporan polis dibuat pegawai dari IPK Pulau Pinang pada Rabu, jam 11.45 pagi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Mohd Dzuraidi berkata, suspek kedua ditahan oleh pegawai dari IPK Kedah di Lunas, Kedah, jam 5 petang.

Katanya, suspek kedua menggunakan akaun Facebook Zulkifli Mohd Kadir yang turut berkongsi kenyataan sama berunsur hasutan dan perkauman terbabit.

“Suspek kedua berusia 42 tahun bekerja sebagai pemandu jentolak. Ia susulan satu laporan polis yang dibuat di Lunas, petang semalam,” katanya.

Mohd Dzuraidi berkata, suspek ketiga berusia 28 tahun yang bekerja sebagai sub kontraktor pula ditahan oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Kuala Muda, Kedah, jam 12.27 tengah malam.

Katanya, polis turut merampas telefon bimbit digunakan suspek dipercayai digunakan bagi memuat naik kenyataan berkenaan.

“Ketiga-tiga suspek itu ditahan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dengan niat mahu mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.

“Polis akan membawa ketiga-tiga suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini bagi proses reman,” katanya.

Semalam, polis mengenal pasti tiga lelaki yang memuat naik status palsu berunsur hasutan mengenai kejadian lelaki maut ditembak polis selepas menetak dua individu di sebuah kilang di Bayan Lepas, Isnin lalu.

Pada Isnin lalu, polis menembak mati seorang lelaki selepas suspek mengamuk dan menetak dua bekas rakan sekerjanya.

Seorang wanita mangsa tetak disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada hari yang sama, manakala seorang lagi masih kritikal.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X