Jumaat, 27 September 2019 | 12:08pm

Semua pihak diminta terima dengan hati terbuka - Zuraida

SHAH ALAM: Semua pihak diminta menerima dengan hati terbuka keputusan Mahkamah Koroner hari ini, yang memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata kes membabitkan Muhammad Adib sudah dijalankan dengan sebaik mungkin demi memberi keadilan kepada semua pihak, terutamanya keluarga Allahyarham.

“Alhamdulillah inkues kes ini berjaya diselesaikan selepas enam bulan. Seluruh rakyat perlu terima keputusan ini.

“Saya minta jangan ada pihak mempolitikkan perkara ini. Semua pihak perlu hormati keputusan Mahkamah Koroner ini,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah Shah Alam di sini, hari ini.

Mahkamah Koroner hari ini, memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib berpunca akibat perbuatan jenayah oleh dua orang atau lebih individu yang tak dikenali.


REAKSI orang ramai di mahkamah selepas keputusan berhubung kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah disebabkan perbuatan jenayah yang melibatkan lebih seorang individu yang tidak dikenali. - Foto Syarafiq Abd Samad

Koroner Rofiah Mohamad berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian boleh diterima dan mempunyai asas selain ia disokong saksi ke-30 iaitu pakar Fizik dalam pengiraan formula daya.

Beliau berkata pihaknya juga menolak teori yang dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van EMRS sebelum dilanggar.

Ketika membacakan keputusan, Rofiah juga memberitahu keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul di mana ia membabitkan kira-kira 20 hingga 30 lelaki.

Rofiah turut merumuskan kegagalan polis dan pasukan FRU dalam mengawal keadaan rusuhan itu menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada sidang media selepas Hakim Koroner, Rofiah Mohamad memutuskan keputusan berhubung kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah disebabkan perbuatan jenayah yang melibatkan lebih seorang individu yang tidak dikenali. - Foto Syarafiq Abd Samad
REAKSI orang ramai di mahkamah selepas keputusan berhubung kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah disebabkan perbuatan jenayah yang melibatkan lebih seorang individu yang tidak dikenali. - Foto Syarafiq Abd Samad
Berita Harian X