Jumaat, 27 September 2019 | 4:33pm
Balu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar hadir pada perbicaraan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan, di Mahkamah Shah Alam. - Foto Saddam Yusoff
Saksi, Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Petaling Jaya, Inspektor Anestassia Chin Fat hadir perbicaraan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan, di Mahkamah Shah Alam. - Foto Saddam Yusoff

Ada kesan cedera bahagian kiri kepala, pipi dan bahu Nazrin

SHAH ALAM: Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan mengalami kecederaan di sebelah kiri kepala, pipi dan bahunya ketika mayatnya dilihat pegawai penyiasat selepas kebakaran pada 14 Jun tahun lalu.

Saksi Pendakwaan ketujuh, Pegawai Penyiasat Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Anesstassia Chin Fat, berkata beliau melihat kecederaan yang dalam di bahagian kepala, manakala ada satu kesan seperti hirisan di pipi kiri mangsa, selain kesan hirisan dan terbakar di bahu kirinya.

Beliau yang merujuk beberapa gambar tempat kejadian, berkata pada hari kejadian, beliau datang ke rumah mangsa di Mutiara Homes Damansara selepas dimaklumkan mengenai penemuan mayat Nazrin dalam bilik utama kediaman itu yang terbakar pada 14 Jun tahun lalu.

Katanya, ketika di rumah itu, beliau dibawa ke bilik utama rumah mangsa dan nampak seorang lelaki terbaring di atas lantai berhampiran dengan kaki katil.

“Kemudian saya pergi melihat keadaan mangsa. Mangsa dalam keadaan terlentang dan hanya memakai seluar dalam sahaja. Pemerhatian saya terdapat kesan-kesan luka pada badan mangsa tersebut.

“Saya nampak ada kesan luka yang dalam di bahagian kepala mangsa, beberapa luka seperti hirisan di bahagian muka mangsa,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah pada perbicaraan kes kematian Nazrin di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman hari ini.

Anesstassia berkata, beliau juga melihat seperti satu benda terbakar tapi beliau tidak pasti apa benda yang terbakar atas badan mangsa itu.

Beliau memberi keterangan dalam perbicaraan bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar, 44, yang juga balu kepada Nazrin, 47, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Anesstassia berkata, selepas melihat keadaan dalam bilik berkenaan, beliau keluar membuat pemerhatian di kawasan sekitar rumah si mati dan mendapati keadaannya tidak mencurigakan sebelum turun ke tingkat bawah rumah dan berjumpa dengan isteri mangsa serta bertanya apa yang berlaku.

Beliau berkata, isteri mangsa, yang dicamkan sebagai tertuduh pertama dalam kes itu, memberitahunya dia tidak tahu kebakaran berlaku dan hanya mengetahuinya apabila dimaklumkan oleh pihak keselamatan datang mengetuk rumahnya serta isteri mangsa memaklumkan mangsa sedang tidur.

“Selang kira-kira satu jam, pihak Forensik Jabatan Bomba Selangor tiba di tempat kejadian dan kemudian membuat pemeriksaan awal ke atas mangsa. Hasil penelitian saya dan juga perbincangan yang saya lakukan bersama pihak bomba, saya dan pihak bomba bersetuju untuk kes ini diklasifikasi sebagai SDR atau ‘sudden death report’ (kematian mengejut).

“Kemudian saya menghubungi Asisten Komisioner Ahmad Marzuqi dan menyatakan cadangan saya agar kes diklasifikasikan sebagai ‘sudden death report’ terdahulu dan ASP Ahmad Marzuqi bersetuju dengan cadangan saya itu, memandangkan saya pegawai penyiasat yang bertugas,” katanya.

Sementara itu, pada pemeriksaan balas, Anesstassia bersetuju dengan cadangan oleh Peguam Bela Tan Sri Shafee Abdullah bahawa beliau tidak menemui benda yang mungkin senjata yang boleh digunakan untuk pembunuhan di dalam atau luar kediaman mangsa.

Katanya, beliau juga tidak menjumpai besi atau tukul besi, mahupun tong minyak atau nampak telefon bimbit walaupun beliau berdiri hampir dengan tilam yang terbakar keseluruhannya.

Beliau juga mengakui nampak seperti darah mengalir dari kepala, melalui tengkuk dan ketiak selain nampak luka yang dalam tanpa perlu menyelak rambut mangsa.

Berita Harian X