Jumaat, 27 September 2019 | 5:17pm
Pengarah Bomba Dan Penyelamat Negeri Selangor, Norazam Khamis (tengah) hadir untuk mendengar keputusan inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA

Bomba Selangor sedia beri kerjasama siasatan polis

SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil pihak polis berhubung siasatan terhadap kematian anggotanya, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya akan mengikut segala arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Kami berpuas hati dengan keputusan yang diputuskan Mahkamah Koroner hari ini dalam mencari punca kematian Muhammad Adib.

“Ini adalah satu keputusan yang adil dan ditunggu-tunggu pihak kami,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pagi tadi, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah perbuatan jenayah oleh dua orang atau lebih individu yang tak dikenali.

Ketika membaca keputusan, Koroner Rofiah Mohamad turut menyerahkan perkara itu kepada polis serta Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Terdahulu, ketika keputusan prosiding inkues dibacakan, beberapa anggota serta pegawai bomba dilihat hadir sebagai tanda sokongan kepada keluarga Muhammad Adib.

Turut kelihatan, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, yang juga menjadi saksi ke-18, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman.

Berita Harian X