Jumaat, 27 September 2019 | 9:30pm
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib (dua, kiri) hadir untuk mendengar keputusan inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA

Usaha jejaki pembunuh Adib semakin rumit

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Koroner yang mendapati kematian Muhammad Adib Mohd Kasim dalam rusuhan pada 27 November tahun lalu adalah satu jenayah, membuatkan penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berdepan tugas rumit menjejaki dalang pembunuhan anggota bomba dan penyelamat itu.

Bekas Timbalan Pendakwa Raya, Fahmi Abdul Moin, berkata susulan keputusan terbabit, ia menjadi tugas pegawai penyiasat mengesan jejak bukti yang diperoleh polis sebelum ini dalam usaha mencari individu yang bertanggungjawab menyebabkan kematian mangsa.

“Peranan inkues hanyalah untuk mencari punca kematian, manakala tugas polis adalah menyiasat insiden itu dan mendapatkan bukti sehingga pihak yang melakukan jenayah ditangkap dan didakwa di mahkamah...tugas (pegawai penyiasat) kini menjadi agak rumit kerana perkara terbabit sebenarnya hendaklah ditentukan pada awal lagi.

“Pihak polis sebelum ini sudah menahan beberapa suspek, bagaimanapun pertuduhan tidak dapat dikemukakan kerana mungkin kekurangan bukti yang lengkap dan kukuh.

“Oleh itu diharapkan selepas kertas siasatan dibuka semula dan siasatan terperinci dijalankan, individu yang melakukan jenayah itu boleh dibawa ke muka pengadilan dan seterusnya memberikan keadilan kepada keluarga mangsa,” katanya ketika dihubungi BH.

Mahkamah Koroner hari ini, memutuskan punca kematian Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Fahmi berkata, walaupun inkues mendapati kematian mangsa adalah akibat perbuatan jenayah, tetapi keputusan koroner itu masih boleh dicabar di Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 341A Kanun Acara Jenayah.

“Permohonan semakan itu boleh difailkan Pejabat Peguam Negara atau mana-mana pihak berkepentingan. Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk mendengar permohonan semakan berkenaan mengikut seksyen sama,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, prosiding komital dikemukakan bapa Adib terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas, berhubung inkues kematian mangsa, tidak ada kena mengena dengan dapatan oleh Mahkamah Koroner hari ini.

Peguam itu berkata, ia adalah kerana prosiding komital membabitkan isu lain, iaitu berkaitan kredibiliti Thomas dalam mengeluarkan kenyataan berhubung prosiding inkues.

Berita Harian X