Jumaat, 27 September 2019 | 10:54pm
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Asyraf Hamzah

Kerajaan serah pada polis teruskan siasatan kes Muhammad Adib

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meneruskan siasatan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan menerima keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini, yang memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dapat dikenal pasti.

“Saya percaya PDRM akan menyiasat kes ini secara terperinci dan sebaik mungkin untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hakim Koroner Rofiah Mohamad, hari ini, membuat keputusan kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya itu adalah akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.

Dalam keputusannya, Rofiah berkata, kecederaan ‘lung chest trauma’ dialami Muhammad Adib disebabkan arwah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan JPBM Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu dan meninggal dunia 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.

Berita Harian X