Ahad, 29 September 2019 | 1:53pm
Azhari (tiga dari kanan) bersama anggota pada sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Lubok Stol di Tumpat, hari ini. - NSTP/Fathil Asri

PGA 7 rampas barang seludup bernilai RM774,537.12

RANTAU PANJANG: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA 7) membuat tangkapan dan rampasan bernilai RM774,537.13 dalam masa dua minggu selepas mengambil alih penugasan dalam Ops Wawasan Kelantan bermula 29 September lalu.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Azhari Nusi, berkata nilai itu membabitkan 43 kes dengan jumlah tangkapan seramai 25 orang membabitkan pelbagai kesalahan dan kes penyeludupan.

Katanya, setakat ini nilai rampasan yang paling tinggi hasil kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bernilai lebih RM454,000 membabitkan penyeludupan lembu, kambing, anak pokok kelapa dan sabut kelapa.

“Kita mengadakan kolaborasi dengan agensi penguatkuasaan di sempadan Malaysia-Thailand seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Selain itu, pihak kami juga memperketatkan kawalan sekatan jalan raya (SJR), sekat pintas, dan pos statik di kawasan Ops Wawasan bagi mengekang kegiatan penyeludupan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika didapati melanggar peraturan dan undang-undang di Malaysia,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Lubok Stol di sini, hari ini.

Dalam operasi terbaru, PGA 7 merampas 14,640 batang rokok seludup bernilai RM21,960 ketika rondaan bermotosikal di Pangkalan Haram Workshop, Jalan Kasban, Kualan Jambu, Tumpat, semalam.

Azhari berkata, dalam kejadian jam 4.20 petang itu, anggotanya ternampak sekumpulan lelaki sedang memunggah satu kotak dan dua bungkusan plastik yang dipercayai dibawa dari tebing Sungai Golok.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak kami, mereka bertindak melarikan diri menggunakan kereta yang tidak dikenal pasti nombor pendaftaran dan meninggalkan barangan yang dipercayai diseludup.

“Hasil pemeriksaan kotak dan plastik, terdapat pelbagai jenis rokok seludup seperti Surya Gudang Garam, Nusantara Gudang Garam, Saat dan Minna International.

“Pihak kami merampas kesemua rokok terbabit untuk diserahkan kepada kastam Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Berita Harian X