Isnin, 30 September 2019 | 11:33am

107 tokan ditahan, 121.91kg dadah dirampas

SEREMBAN: Polis menahan 107 orang dan merampas 121.91 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM56,684 dalam Op Damn Tokan selama tiga hari bermula 27 September lalu di Negeri Sembilan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata semua yang ditahan berusia antara 20-an hingga 50-an dikenal pasti sebagai tokan atau pengedar kecil-kecilan kepada penagih di negeri ini.

Katanya, operasi dijalankan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan bertujuan memutuskan bekalan dadah dari tokan kepada penagih dadah dalam usaha mengurangkan jumlah penagih di negeri ini.

“Seramai 42 individu ditahan selepas ujian air kencing mendapati mereka positif dadah, 27 ditahan kerana memiliki (dadah) manakala 14 lagi ditahan atas Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Sebanyak 121.91kg pelbagai jenis dadah dirampas iaitu syabu, heroin, pil erimin, air ketum dan daum ketum dengan keseluruhan nilai berjumlah RM56,684.

“Selain itu, polis turut menyita aset berjumlah RM162,949 yang digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah ini seperti wang tunai, barang kemas dan pelbagai jenis kenderaan,” katanya pada sidang media Op Damn Tokan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, semua tahanan akan direman antara tiga hingga tujuh hari mengikut Seksyen 39A(1) dan 39A(2), Seksyen 39B, Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (LLPK) 1985.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 137,225 orang termasuk 9,512 warga asing ditahan JSJN sejak 1 Januari hingga 26 September lalu atas kesalahan berkaitan dadah.

"Nilai rampasan dadah pada tempoh itu berjumlah RM2.69 bilion dan pihak polis telah melakukan sitaan harta bernilai RM62.81 juta manakala harta berjumlah RM2.16 juta dilucutkan hak," katanya.

Op Blue Devil diteruskan

Sementara itu, Mohd Khalil berkata, polis akan terus membuat pemeriksaan terhadap pegawai dan anggotanya menerusi Op Blue Devil dalam usaha memastikan pasukan keselamatan itu bebas daripada gejala dadah.

Katanya, pemeriksaan setakat ini menerusi ujian saringan awal mendapati seramai 142 pegawai dan anggota PDRM positif dadah.

“Bagaimanapun jumlah itu hanya daripada ujian saringan awal. Kita akan tuduh di mahkamah sekiranya laporan patologi kekal positif. Polis tidak akan beri belas kasihan (kepada pegawai dan anggota) sekiranya didapati terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan akan mengenakan tindakan sama seperti orang awam,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Khalil berkata, tiada pegawai atasan PDRM yang didapati terbabit dalam penyalahgunaan dadah hingga kini.

Mohd Khalil (tiga dari kiri) menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah dalam Op Damn Tokan selepas sidang media di IPK Negeri Sembilan. - NSTP/Adzlan Sidek
Mohd Khalil (tiga dari kiri) menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah dalam Op Damn Tokan selepas sidang media di IPK Negeri Sembilan. - NSTP/Adzlan Sidek

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X