Isnin, 30 September 2019 | 4:19pm
PEGAWAI Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi (tengah) menunjukkan rokok seludup dan mercun yang dirampas pada sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Lubok Stol, Rantau Panjang, hari ini. - Foto Syaherah Mustafa

PGA7 rampas rokok seludup bernilai RM114,000

RANTAU PANJANG: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) menggagalkan cubaan menyeludup 76,000 batang rokok bernilai RM114,000 dalam serbuan di Pangkalan Haram Tualang, Pengkalan Kubor, Tumpat, awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata ketika serbuan pada jam 5.45 pagi itu, terdapat beberapa lelaki sedang memunggah kotak dari sebuah bot.

Katanya, bagaimanapun sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka melarikan diri dengan menggunakan bot ke Thailand.

“Pemeriksaan lanjut menemui tujuh kotak yang diisi dengan 380 karton rokok.

“Pasukan kami merampas semua rokok terbabit untuk dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor bagi tindakan dan siasatan lanjut dilakukan oleh Jabatan Kastam Kelantan.

“Kesalahan ini disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Lubok Stol, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azhari berkata, PGA7 turut merampas mercun seludup bernilai RM26,420 ketika membuat rondaan motosikal di Jalan Rantau Panjang - Pasir Mas, berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, di sini, Khamis lalu.

“Sejurus menyedari kehadiran pihak PGA7, suspek yang memandu kereta Proton Saga memberhentikan kenderaan dan melarikan diri ke dalam semak berhampiran. Hasil pemeriksaan lanjut kami menjumpai pelbagai jenis mercun di tempat duduk penumpang bahagian hadapan dan belakang kereta.

“Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh penugasan di Ops Wawasan selama 15 hari bermula 15 September lalu, PGA7 berjaya membuat rampasan dan tangkapan sebanyak 47 kes bernilai lebih RM935,777.

“Pihak kami akan memperketatkan kawalan sekatan jalan raya (SJR), sekat pintas, dan pos statik di kawasan Ops Wawasan bagi mengekang kegiatan penyeludupan,” katanya.

Berita Harian X