Isnin, 30 September 2019 | 4:23pm
PEGAWAI Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi. - Foto Fathil Asri

Penyeludup jadikan remaja dan janda sebagai 'spy'

RANTAU PANJANG: Penyeludup dikesan mengupah golongan remaja dan wanita sebagai pengintip bagi mengawasi pergerakan pihak berkuasa yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi, berkata ia adalah taktik terbaharu penyeludup untuk melindungi kegiatan haram kumpulan mereka.

Katanya, modus operandi terbabit dikenal pasti selepas pasukan PGA7 mula mengambil alih penugasan Ops Wawasan Kelantan sejak 15 September lalu.

“Golongan remaja dan wanita terbabit yang juga penduduk tempatan dijadikan sebagai ‘tonto’ bagi memudahkan penyeludup menjalankan aktiviti haram sepanjang kawasan sempadan. Biasanya golongan yang terbabit adalah dalam kalangan anak-anak yang kurang mendapat perhatian ibu bapa serta wanita berstatus janda.

“Penyeludup kini semakin ‘pintar’ dengan sanggup membelanjakan wang dengan memberi upah kepada mereka yang berani menjadi mata-mata kepada penyeludup

“Golongan ini akan memberi amaran kepada pemimpin mereka (penyeludup) apabila pegawai kita meninggalkan pangkalan bagi memudahkan penyeludup meneruskan kegiatan haram,” katanya ketika sidang media rampasan rokok dan mercun seludup di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Lubok Stol, di sini, hari ini.

Menurutnya, penyeludup juga biasanya mengubah taktik dengan mempercepatkan kegiatan mereka ketika melalui jalan pintas untuk menyampaikan barangan yang diseludup.

“Pihak kami mendapati bilangan tonto meningkat dari semasa ke semasa berikutan permintaan yang tinggi untuk barang yang diseludup.

“Keadaan ini membimbangkan kami kerana ia membabitkan masyarakat sekitar kawasan pangkalan haram namun kita akan teruskan pemantauan untuk memastikan segala taktik mereka dapat dilumpuhkan,” katanya.

Berita Harian X