Isnin, 30 September 2019 | 10:32pm
ANGGOTA Bomba mengangkat mayat seorang wanita yang terjun ke dalam sungai dua hari lalu dari atas Jambatan Telok Datok ditemui di Sungai Langat berhampiran Tokong Cina Teluk Bunut, pagi tadi. - Foto ihsan polis

Terjun sungai selepas bergaduh dengan anak

BANTING: Wanita yang terjun ke dalam Sungai Langat pada Sabtu lalu, ditemui mati apabila mayatnya ditemui dalam sungai itu, berhampiran Tokong Cina Teluk Bunut, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, ketika ditemui, mayat wanita itu terapung dalam keadaan tertiarap dan lengkap berpakaian.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat wanita berusia 49 tahun itu, kira-kira jam 8.50 pagi.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke unit Forensik Hospital Banting bagi proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azizan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita terbabit bermula sejak dua hari lalu selepas dia hilang selepas nekad terjun ke dalam Sungai Langat dari Jambatan Telok Datok, di sini, apabila usaha memujuknya gagal.

“Kira-kira jam 11.20 malam Sabtu lalu, polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai seorang wanita berada di atas Jambatan Telok Datok dan cuba terjun dari jambatan itu.

“Polis tiba di lokasi 10 minit kemudian dan pihak kami serta jiran berusaha memujuk mangsa untuk tidak meneruskan niatnya, namun gagal.

“Sebelum kejadian, mangsa dikatakan berselisih faham dengan anak lelakinya, dipercayai membabitkan masalah kewangan. Kira-kira jam 11.35 malam mangsa terjun dari jambatan itu,” katanya.

Kejadian itu tersebar melalui media sosial selepas beberapa klip video yang memaparkan wanita itu sedang berdiri di atas Jambatan Telok Datok dipujuk beberapa individu sebelum nekad terjun ke dalam sungai.

Berita Harian X