Rabu, 2 Oktober 2019 | 2:07pm
Bangkai gajah Pygmy Borneo yang ditemui di Hulu Sungai Udin, Dumpas, Tawau pada 25 September lalu. - NSTP/Jabatan Hidupan Liar
Ganjaran sebanyak RM30,000 ditawarkan kepada pemberi maklumat bagi mengesan pemburu.
Terdapat kesan kira-kira 70 peluru di dalam badan haiwan ini.

Empat ditahan kes bunuh gajah Pygmy

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan empat individu ditahan berhubung pembunuhan kejam gajah Pygmy Borneo, di Hulu Sungai Udin, Dumpas, Tawau, pada 25 September lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu namun maklumat lanjut akan dimaklumkan dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, petang ini.

Dipercayai, tangkapan itu membabitkan tiga individu tempatan dan seorang lagi warga asing.

Sebelum ini, menurut laporan, bangkai gajah itu ditemui di sungai berkenaan dan hasil bedah siasat, kematian gajah malang itu berpunca daripada peluru yang menembusi tengkorak haiwan berkenaan.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga, berkata, terdapat kesan kira-kira 70 peluru di dalam badan haiwan itu.

Kesan tembakan (bulatan) pada bahagian badan gajah pigmy.

Beliau dilaporkan berkata, banyak kesan tembakan di badan tetapi itu mungkin hanya menyebabkan kesakitan tetapi salah satu peluru menembusi tengkorak manakala gadingnya dipotong serta diambil pemburu.

Ekoran kejadian itu, ganjaran sebanyak RM30,000 ditawarkan kepada pemberi maklumat bagi mengesan pemburu terbabit dan bantuan orang ramai diharapkan untuk menyalurkan sebarang maklumat.

Berita Harian X