Rabu, 2 Oktober 2019 | 2:58pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (duduk tengah) bergambar bersama graduan pada Majlis Penutupan Kursus Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan, Diploma Siswazah Sains Kepolisan (DSSK) dan Diploma Eksekutif Sains Siasatan (DESS) Sesi 2017/20 di Maktab Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Mansor. - Foto BERNAMA

Kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor disiasat

KUALA LUMPUR: Polis menerima satu laporan berhubung kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang dimuat naik melalui hantaran di sebuah akaun Facebook, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Mansor, berkata laporan dibuat di daerah Shah Alam dan siasatan masih berlangsung.

“Kita ada terima satu laporan polis semalam dan siasatan sedang dijalankan.

“Biarlah polis lihat dahulu perkara ini dan saya tak boleh komen lanjut buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Kursus Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan, Diploma Siswazah Sains Kepolisan (DSSK) dan Diploma Eksekutif Sains Siasatan (DESS) Sesi 2017/20 di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini, hari ini.

Difahamkan, laporan dibuat di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam oleh seorang pengiring Sultan Selangor, pada jam 11.15 pagi semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Ahad lalu, hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwibahasa di Selangor, tular di media sosial.

Hantaran ditulis dalam bahasa Cina itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak manakala Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, menafikan mempunyai kaitan dengan hantaran berkenaan dan mendakwa akaun berkenaan palsu.

Berita Harian X