Rabu, 2 Oktober 2019 | 3:41pm

'Samirah tidak menangis, meratap, meraung lihat mayat Nazrin'

SHAH ALAM: Seorang pegawai bomba memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, tidak menangis, meratap atau meraung apabila mengetahui suaminya maut akibat kebakaran pada 14 Jun tahun lalu.

Saksi kesembilan, Mohamad Afzan Majid, berkata beliau juga tidak pernah melihat reaksi bersahaja seperti yang ditunjukkan isteri mangsa yang juga tertuduh pertama, Samirah Muzaffar, 44, selama 22 tahun bertugas sebagai anggota bomba.

Sepanjang 22 tahun itu, beliau pernah memadam lebih 500 kebakaran termasuk membabitkan kematian.

Katanya, ketika sampai di lokasi pada jam 12.46 tengah hari pada hari kejadian, Samirah melambai ke arah pasukan bomba yang meletakkan jentera berhampiran pagar rumah.

“Kami mendekati wanita itu (tertuduh) dan beritahu dia pemilik rumah dan isteri kepada mangsa kebakaran.

“Dia juga kata berlaku kebakaran bilik di bahagian atas rumah. Masa itu, wajah dia bersahaja dan tiada riak sedih,” katanya di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman di sini, hari ini.

Samirah (kiri) hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA

Mohamad Afzan (kiri) ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Sairien Nafis

Saksi itu memberitahu mahkamah, berdasarkan pengalamannya sebagai anggota bomba, selalunya penghuni rumah yang terbabit dengan kebakaran akan segera meninggalkan rumah dan menunggu di luar rumah sementara bomba memadamkan kebakaran.

Katanya, jika membabitkan kematian akibat kebakaran, penghuni rumah akan meratap, meraung dan menangis akibat terlalu sedih selepas kehilangan ahli keluarga.

Anggota bomba yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Damansara itu berkata, beliau berjaya memadamkan kebakaran yang dikategorikan sebagai kebakaran yang tidak terlalu besar itu dalam tempoh dua minit.

Selepas kebakaran dipadamkan, Mohamad Afzan, 50, berkata beliau menyerahkan tugas seterusnya kepada pegawai bomba Muhammad Rezza bagi melakukan proses membuang asap.

Beliau pula membawa Samirah turun berikutan wanita itu bertindak menghalangnya melakukan tugas dengan cuba memasuki bilik berkenaan.

Saksi itu berkata, selepas memastikan kebakaran terkawal, beliau mencabut segala peralatan yang dipakainya dan melihat Pemangku Penyelia Operasi Pegawai Bomba Tanhoss Bah Agem, turun sebelum memaklumkan terdapat mayat seorang lelaki di bilik terbabit.

“Tertuduh merayu untuk naik ke bilik melihat suaminya. Tanhoss membenarkan sebelum saya iringi tertuduh ke bilik.

“Selepas sampai dalam bilik, saya lihat satu mayat lelaki terbaring dalam keadaan terlentang dan hanya berseluar dalam sahaja.

“Tertuduh melutut mendekatkan diri dengan mayat dan dia pandang ke arah kepala mangsa dalam tempoh lima minit. Bagaimanapun, saya tidak tahu reaksi wajah tertuduh kerana berada di belakangnya cuma nampak kepala tertuduh bergerak ke kiri kanan (memerhatikan kepala),” katanya.

Mohamad Afzan berkata tertuduh tidak mengeluarkan sebarang perkataan ketika turun dan kemudian menuju ke sinki dapur membuat susu dalam botol susu bayi.

Berita Harian X