Rabu, 2 Oktober 2019 | 4:09pm
KETUA Polis Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas menunjukkan senjata yang dirampas pada sidang media di Tawau, hari ini. - Foto Abdul Rahemang Taiming
KETUA Polis Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas menunjukkan senjata yang dirampas pada sidang media di Tawau, hari ini. - Foto Abdul Rahemang Taiming
Pembunuhan kejam gajah Pygmy Borneo di Kalabakan, minggu lalu.
Pembunuhan kejam gajah Pygmy Borneo di Kalabakan, minggu lalu.

Pembunuhan kejam gajah Pygmy: 6 suspek ditahan, 53 kelongsong peluru dirampas

TAWAU: Polis hari ini menahan enam individu dan merampas 53 kelongsong peluru, 56 peluru hidup serta tiga senjata api dipercayai digunakan suspek kes pembunuhan kejam gajah Pygmy Borneo di Kalabakan, minggu lalu.

Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata enam suspek berkenaan, termasuk seorang warga asing berumur antara 48 hingga 68 tahun, ditahan dalam serbuan di kawasan FELDA Umas, di sini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas selaras pump gun buatan Iver Johnson Single Barrel 30’, senapang angin jenis Raifal buatan sendiri jenama Sharp Innova dan selaras bakakuk atau senapang patah buatan sendiri.

Turut dirampas, sembilan butir peluru hidup jenis Gb Buckshot warna putih, 47 kelongsong peluru jenis Mega Oob warna hijau, tiga butir kelongsong peluru jenis Rimba warna biru dan sebutir kelongsong peluru jenis Gb Buckshot warna hitam.

Katanya, kelongsong peluru jenis Winchester Buckshot warna merah (dua), buku lesen memiliki senjata api dan peluru dengan nombor siri 110937 Bil T/L/160, peluru warna hijau pelbagai jenama (23 butir), peluru jenis Rimba (20 butir) dan peluru jenis Rio Royal 00 Buck Lg (empat butir) juga dirampas.

53 kelongsong peluru dan 56 peluru hidup serta tiga senjata api dirampas polis, dipercayai digunakan suspek yang terbabit dalam kes penemuan gajah mati akibat tembakan di hulu Sungai Udin, Dumpas, Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming
53 kelongsong peluru dan 56 peluru hidup serta tiga senjata api dirampas polis, dipercayai digunakan suspek yang terbabit dalam kes penemuan gajah mati akibat tembakan di hulu Sungai Udin, Dumpas, Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming

Hasil bedah siasat mendapati kira-kira 70 peluru dalam badan haiwan ini.
Hasil bedah siasat mendapati kira-kira 70 peluru dalam badan haiwan ini.

“Ada maklumat ditularkan melalui media sosial Facebook, myTawau, pada 25 September lalu kira-kira jam 9.25 malam berhubung penemuan satu bangkai gajah yang berikat tali di leher dan terapung di kawasan hulu Sungai Udin, Dumpas.

“Bertindak atas maklumat itu, kira-kira jam 12.02 tengah malam tadi, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan operasi di FELDA Umas 4 dan menahan seorang lelaki kerana disyaki terbabit kes ini.

“Sebanyak tiga serbuan susulan dijalankan di kawasan FELDA Umas. Empat suspek lelaki ditahan disyaki memiliki senjata api buatan sendiri. Dua lagi suspek ditahan pada tengah hari tadi,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua daripada enam suspek terbabit dikenal pasti adalah pekerja FELDA Umas yang diberi tanggungjawab mengawasi hidupan liar yang memasuki kawasan ladang.

“Motif pembunuhan gajah itu dipercayai untuk mengambil gading, selain mengikut arahan menjaga kawasan daripada dicerobohi hidupan liar kerana suspek digaji khas bagi menjaga kemasukan haiwan ke kawasan ladang,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman, esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Berita Harian X