Rabu, 2 Oktober 2019 | 6:16pm

Al-Fatihah buat Kyfa Nishka

KOTA BHARU: Bayi berusia empat bulan, Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham, yang menderita kanser otak tahap empat dan buah pinggang meninggal dunia hari ini.

Nishka meninggal dunia jam 4.30 petang di Unit Dependensi Tinggi (HDU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini.

Ibunya, Khairiah Kamarudin, 35, yang memaklumkan berita sedih itu, berkata mereka sekeluarga reda dengan pemergian anak bongsu daripada lima beradik itu.

“Sejak semalam Nishka tenat dan tidak memberi sebarang maklum balas. Memang kami sekeluarga sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Walaupun sedih, ini semua takdir Allah dan bersyukur pemergian Nishka dipermudahkan,” katanya ketika dihubungi.

Jenazah dijangka dikebumikan di malam ini.

Khairiah berterima kasih kepada semua pihak yang selama ini mendoakan Nishka serta kakitangan HUSM yang banyak berjasa kepada keluarganya.

Akhbar sebelum ini melaporkan bayi itu menderita kanser otak tahap empat sehingga hilang penglihatan dan tidak mampu bersuara.

Nishka disahkan menghidap penyakit itu ketika berusia 21 hari, selepas kepalanya yang agak besar berbanding bayi seusia.

Lebih menyedihkan, dia juga dikesan menghidap penyakit kanser buah pinggang bulan lalu yang menyebabkan keadaannya tidak aktif dan perlu menggunakan alat bantuan untuk pernafasan.

BAYI berusia empat bulan, Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham meninggal dunia hari ini. - Ihsan keluarga
Khairiah dan suami, Mohd Farham Che Ahmad, 36, mencium anak bongsunya sebelum membawa keluar Kyfa Nishka dari Unit Dependensi Tinggi (HDU) HUSM, Kubang Kerian untuk dikebumikan. - NSTP/Zaman Huri Isa
Berita Harian X