Rabu, 2 Oktober 2019 | 7:44pm

Bunuh gajah: Suspek tunjuk gading ditanam

TAWAU: Dua gading milik gajah yang mati akibat ditembak di hulu Sungai Udin, Dumpas, dekat sini, ditemui disembunyikan dalam kebun buah-buahan milik koperasi FELDA Umas 4, kira-kira 10 kilometer dari lokasi bangkai haiwan itu ditemui.

Lokasi gading gajah itu ditunjukkan oleh seorang daripada enam suspek yang ditahan polis dalam operasi di FELDA Umas bermula tengah malam tadi hingga tengah hari tadi.

Polis membawa suspek untuk menunjukkan lokasi gading gajah terbabit disembunyikan dengan disertai beberapa anggota media, petang tadi.

Gading itu dibalut dengan guni plastik sebelum ditanam dalam tanah berhampiran pokok pisang di kebun buah-buahan terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan ada lagi suspek atau rakan subahat termasuk pembeli gading yang akan ditahan selepas ini.

“Polis menasihatkan pemilik senjata api jangan salah guna senjata, termasuk menyerahkan kepada individu yang tidak mempunyai lesen. Polis tidak berkompromi atas sebarang pelakuan jenayah sama ada terhadap haiwan dan lain-lain,” katanya kepada media.

Peter menunjukkan gading gajah yang disembunyikan dalam tanah di kebun buah-buahan. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming
Peter menunjukkan gading gajah yang disembunyikan dalam tanah di kebun buah-buahan. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming

Dua gading milik gajah yang mati akibat ditembak di hulu Sungai Udin, Dumpas. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming
Dua gading milik gajah yang mati akibat ditembak di hulu Sungai Udin, Dumpas. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming

Bangkai gajah Pygmy yang ditemui di Hulu Sungai Udin, Dumpas, Tawau pada 25 September lalu. - Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
Bangkai gajah Pygmy yang ditemui di Hulu Sungai Udin, Dumpas, Tawau pada 25 September lalu. - Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

Dalam operasi yang bermula jam 12.20 tengah malam tadi, polis merampas 53 kelongsong peluru dan 56 peluru hidup serta tiga senjata api dipercayai digunakan suspek yang terbabit dalam kes penemuan gajah mati akibat ditembak di hulu Sungai Udin, Dumpas, dekat sini.

Peter dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, petang tadi berkata enam suspek termasuk seorang warga asing berumur antara 48 hingga 68 tahun ditahan ketika serbuan di kawasan FELDA Umas antara tengah malam hingga tengah hari tadi.

Katanya, dua daripada suspek dikenal pasti pekerja dan peneroka FELDA Umas yang diberi tanggungjawab mengawasi hidupan liar yang memasuki kawasan ladang.

“Hanya dua daripada suspek iaitu peneroka dan pekerja FELDA Umas disyaki melepaskan tembakan dengan kejadian sebenar berlaku pada jam 9 pagi, 23 September lalu,” katanya.

Katanya, ketika tangkapan dibuat, polis merampas selaras pump gun buatan Iver Johnson Single Barrel 30, senapang angin jenis Raifal buatan sendiri jenama Sharp Innova dan selaras bakakuk atau senapang patah buatan sendiri.

Peter menunjukkan senjata api, kelongsong dan peluru hidup yang dipercayai digunakan suspek. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming
Peter menunjukkan senjata api, kelongsong dan peluru hidup yang dipercayai digunakan suspek. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming

Turut dirampas, katanya ialah sembilan butir peluru hidup jenis Gb Buckshot warna putih, 47 kelongsong peluru jenis Mega Oob warna hijau, tiga butir kelongsong peluru jenis Rimba warna biru dan sebutir kelongsong peluru jenis Gb Buckshot warna hitam.

Selebihnya ialah kelongsong peluru jenis Winchester Buckshot warna merah (dua), buku lesen memiliki senjata api dan peluru, peluru warna hijau pelbagai jenama (23 butir), peluru jenis Rimba (20 butir) dan peluru jenis Rio Royal 00 Buck Lg (empat butir).

Katanya, operasi itu berdasarkan maklumat yang disebarkan melalui media sosial 25 September lalu berhubung penemuan bangkai gajah yang berikat tali di leher dan terapung di kawasan hulu Sungai Udin, Dumpas.

“Polis percaya motif pembunuhan gajah itu adalah untuk mengambil gading selain mengikut arahan menjaga kawasan daripada dicerobohi hidupan liar kerana suspek digaji khas untuk menjaga kemasukan haiwan ke kawasan ladang,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman, esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Berita Harian X