Rabu, 2 Oktober 2019 | 11:59pm
HAMPIR 50 orang pekerja syarikat perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian, foodpanda di Negeri Sembilan berkumpul beramai ramai sebagai tanda protes terhadap skim pembayaran baharu syarikat itu ketika di Dataran Centrio Seremban 2. NSTP/Adzlan Sidek

50 pekerja foodpanda mogok di Seremban 2

SEREMBAN: Kira-kira 50 pekerja syarikat perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian, foodpanda berkumpul di Dataran Centrio Seremban 2 di sini, malam ini, sebagai tanda protes terhadap skim pembayaran baharu syarikat itu.

Wakil daripada kumpulan pekerja foodpanda itu, Mohamad Faiz Mohd Padzil, 20, berkata mereka mula melancarkan mogok itu sejak 28 September lalu kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengurusan syarikat.

Katanya, mereka mula berkumpul pada jam 10 malam dan bersurai sejam kemudian.

“Kami bantah skim pembayaran baharu ini kerana ia akan menghapuskan bayaran gaji mengikut jam, komisen penghantaran lewat malam (selepas jam 11 malam) dan bayaran pembatalan pesanan oleh pelanggan.

“Keadaan ini akan menyebabkan kita sukar untuk meraih pulangan modal seperti minyak motosikal dan bil telefon untuk menghubungi pelanggan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam ini.

Mohamad Faiz mendakwa, tindakan pihak pengurusan memperkenalkan skim bayaran baharu itu melanggar syarat yang dipersetujui antara pekerja dan majikan.

“Semasa diambil sebagai pekerja foodpanda, kami menandatangani surat persetujuan yang mana ia menjelaskan mengenai syarat pembayaran gaji selain perlu membayar deposit sebanyak RM100 untuk baju dan beg foodpanda.

“Bagaimanapun, tindakan memperkenalkan skim pembayaran baharu itu jelas menunjukkan mereka melanggar syarat itu, malah pihak pengurusan tidak mengeluarkan satu salinan yang perlu ditandatangani oleh pekerja sebagai tanda kami setuju terhadap keputusan itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Faiz berkata, penghantar makanan foodpanda akan meneruskan kerja mereka seperti biasa bermula esok susulan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Esok kita beroperasi seperti biasa sebab dalam laporan media menyatakan pihak pengurusan akan memberi komitmen untuk menilai semula keputusan mereka.

“Sekiranya ia tidak diubah, kami akan terus lancarkan mogok pada masa akan datang,” katanya.

Berita Harian X