Khamis, 3 Oktober 2019 | 6:47pm
Balu Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar (tengah) hadir perbicaraan kes kematian Nazrin Hassan di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Nampak kesan lubang di kepala Nazrin - Bomba

SHAH ALAM: Anggota bomba yang terbabit dalam operasi kebakaran rumah Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, terdapat kesan lubang di bahagian kepala mayat.

Pegawai bomba Stanley Sigau Nyalang, yang juga saksi ke-11, berkata kesan terbabit ternampak ketika dia pergi melihat keadaan mayat itu selepas dimaklumkan pegawai bomba Muhammad Rezza Rusli yang menemukan mayat itu.

Katanya, mayat ketika itu terbaring di lantai berhampiran katil dalam keadaan hanya berseluar dalam.

“Keadaan mayat sudah keras dan kaku. Kesan lubang seperti dipukul itu dianggarkan sedalam tiga hingga empat sentimeter tetapi saya tidak pasti apa puncanya.

“Selain itu, saya dapati mangsa juga terbakar di bahagian muka, dada dan kaki sebelah kanan serta ada longgokan darah di kepala mangsa,” katanya ketika membaca penyataan saksi di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, di sini, hari ini.

Anggota bahagian operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara itu berkata, pemangku penyelia operasi, pegawai bomba Tanhoss Bah Agem melarangnya menyentuh mayat dan menunggu pasukan forensik bomba dan polis tiba di lokasi berkenaan.

Menceritakan semula kejadian itu, saksi terbabit memaklumkan, dia turut memeriksa bunga api dalam satu beg plastik yang berada di bahagian kabinet televisyen bilik terbabit.

“Saya juga nampak katil dalam bilik itu terbakar sepenuhnya. Saya dapati dinding belakang katil itu juga terkena percikan bunga api tetapi tidak dapat pastikan ia berpunca dari bunga api atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Rezza yang juga saksi ke-10, memberitahu mahkamah, selepas menemui mayat Nazrin dalam keadaan terlentang dan kaku, dia memaklumkan perkara itu kepada Tanhoss.

Katanya, Tanhoss membuat pemeriksaan nadi di bahagian tangan dan leher Nazrin bagi memastikan mangsa masih bernyawa atau tidak.

“Selepas itu, saya keluar dari rumah berkenaan dan mencabut segala peralatan yang dipakai sementara menunggu pasukan forensik tiba.

“Ketika itu, saya lihat seorang remaja lelaki berusia anggaran 14 hingga 15 tahun keluar sambil membawa kotak tetapi tidak tahu apa kandungannya,” katanya.

Berita Harian X