Khamis, 3 Oktober 2019 | 7:35pm
KETUA Pengarah JKDM, Datuk Seri Paddy Abd Halim bersama pegawainya menunjukkan rokok bersetem palsu dan rokok seludup yang dirampas pada sidang media di Pejabat Kastam Dengkil, hari ini. - Foto Noor Atiqah Sulaiman
KETUA Pengarah JKDM, Datuk Seri Paddy Abd Halim bersama pegawainya menunjukkan rokok bersetem palsu dan rokok seludup yang dirampas pada sidang media di Pejabat Kastam Dengkil, hari ini. - Foto Noor Atiqah Sulaiman

Kastam lakukan rampasan terbesar rokok bersetem palsu, tahan 29 individu

DENGKIL: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan dua sindiket penjualan rokok bersetem palsu dan cubaan menyeludup rokok bernilai RM18.13 juta.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Paddy Abd Halim, berkata sindiket berkenaan ditumpaskan melalui Ops Tampal selama dua minggu bermula 22 September lalu membabitkan Zon Tengah dan Utara.

Katanya, berdasarkan beberapa siri serbuan yang dilakukan, JKDM berjaya menahan seramai 29 orang yang disyaki anggota dalam kedua-dua sindiket berkenaan.

“Bagi kes pertama, kita merampas 22 juta batang rokok putih dan 26,000 batang rokok keretek bersetem palsu dengan anggaran nilai sebanyak RM2.2 juta serta cukai sebanyak RM14.76 juta.

“Dalam operasi itu juga pihak JKDM turut menyita 15 kenderaan yang disyaki terbabit untuk penghantaran rokok bersetem palsu itu.

“Bagi kes kedua pula, kita berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan rokok tidak sah iaitu sebanyak 1.5 juta batang rokok putih dan 30,200 batang rokok keretek.

“Ia secara tidak langsung menjadikan operasi ini sebagai rampasan terbesar bagi sindiket penjualan rokok bersetem palsu,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Dengkil, di sini, hari ini.

Paddy berkata, kedua-dua kes itu sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 kerana memiliki barang tidak berkastam di bawah Seksyen 135(1)(d).

Beliau berkata, bagi kesalahan pertama, pihak terbabit boleh didenda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 atau dipenjara lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, boleh dikenakan denda tidak kurang dari 20 kali ganda nilai barang atau RM200,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 40 kali ganda nilai barang atau RM1 juta yang mana lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menyiasat sumber yang mengeluarkan setem palsu berkenaan.

“Kita akan lakukan siasatan dari pelbagai sudut, sama ada setem palsu itu diperoleh dari dalam atau luar negara.

“Setem berkenaan jika dilihat dengan mata kasar, kita tidak boleh memastikan sama ada ia tulen atau palsu. Namun, ia dapat dipastikan dengan hanya menggunakan alat tertentu, malah rokok ini juga akan dijual pada harga bawah RM10,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X