Jumaat, 4 Oktober 2019 | 5:35pm

Bustari kemuka representasi selesai kes lucut hak berkaitan 1MDB

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Sarawak, Tan Sri Bustari Yusuf, akan mengemukakan representasi bagi menyelesaikan kes lucut hak wang RM11.9 juta miliknya yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), atas dakwaan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan peguam mewakili responden (Bustari), Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Katanya, pihak responden (Bustari) akan menyerahkan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

“Kami membuat permohonan bantahan awal terhadap permohonan dikemukakan pendakwaan (pemohon) bagi melucut hak wang itu.

“Selain itu, pemohon juga menggunakan kaedah salah dalam memfailkan saman itu,” katanya.

Mahkamah menetapkan 1 November untuk pengurusan kes bagi mendapatkan perkembangan mengenai surat representasi dihantar responden (Bustari).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa untuk kaji dan membalas hujahan bertulis dikemukakan pihak pembelaan.

“Pihak pendakwaan memerlukan masa untuk menyediakan jawapan bertulis kerana responden membangkitkan isu penting dalam hujahan yang di e-mail pada saya dua hari lalu,” katanya.

Pada 4 September lalu, pihak pemohon (pendakwaan) memberitahu mahkamah bahawa pewartaan notis kepada pihak ketiga disiarkan dalam kes lucut hak membabitkan tujuh pihak lain, namun tiada mana-mana pihak ketiga hadir ke mahkamah untuk menuntut harta itu.

Tujuh pihak itu ialah Bustari, Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Badan

Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP), Jakel

Trading, Mediaedge Cia Malaysia Sdn Bhd dan Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas

Malaysia (PBAKM).

Berita Harian X