Jumaat, 4 Oktober 2019 | 5:57pm

Samirah sempat ambil duit mata wang asing - Saksi

SHAH ALAM: Balu Allahyarham Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar, yang juga tertuduh pertama pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd itu, sempat mengambil duit mata wang asing pada hari kejadian.

Saksi ke-12, bekas anggota polis, Nur Ronal Ardes Amir, berkata Samirah mengambil wang asing yang tidak diketahui nilainya itu dalam bilik sama yang meragut suaminya pada kejadian 14 Jun tahun lalu.

Katanya, mata wang asing itu diambil dalam laci kabinet yang terletak berhadapan dengan katil yang sudah hangus terbakar.

“Wang itu diambil ketika dia masuk kali kedua di dalam bilik itu. Selain ambil wang yang dimasukkan dalam satu beg bertangkai, tertuduh juga menemui segugus kunci pendua, yang turut berada dalam laci kabinet itu.

“Dia (Samirah) berkata kepada saya, ini lah kunci ‘spare’ (pendua). Macam mana saya mahu masuk, kunci dalam laci kabinet ini.

“Sebelum pergi ke arah laci kabinet, dia pergi ke meja di sebelah kanan katil dan ambil satu barang yang dikatakannya milik Nazrin, sama ada jam tangan atau telefon bimbit tetapi dia letak semula kerana barang itu sudah rosak terbakar,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, di sini, hari ini.

SAKSI, Nur Ronal Ardes Amir hadir perbicaraan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Sairien Nafis

Nur Ronal Ardes, 39, bekas Koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata, dia membawa Samirah melihat mayat Nazrin pada kali pertama memasuki bilik terbabit.

Katanya, ketika berada di sisi mayat Nazrin, Samirah melutut dan menggoyangkan badannya ke arah depan dan belakang sambil memerhatikan mayat suaminya itu dengan anggaran masa kira-kira 10 minit.

Katanya, ketika itu Samirah tidak menangis, namun saksi tidak tahu sekiranya Samirah ada mengeluarkan perkataan kerana dia berada di belakang tertuduh.

“Kali ketiga Samirah mahu masuk ke dalam bilik untuk mengambil wang lagi, bomba tidak benarkan.

“Dia kemudian pergi ke dua bilik lain yang ada di aras sama tetapi hanya buka pintu bilik sahaja dan lihat keadaan bilik.

“Ketika itu dia seperti mengomel dan beritahu saya yang ada di belakangnya, dia kena kemas rumah sendiri kerana tiada pembantu rumah,” katanya.

Saksi sama memberitahu mahkamah, dia ada melihat seorang remaja kurus dan tinggi, berusia dalam lingkungan belasan tahun yang dicamkan sebagai tertuduh kedua, naik beberapa kali ke bahagian atas rumah.

Nur Ronal Ardes berkata, ketika naik kali pertama, remaja berkenaan membawa turun baju dan lampin pakai buang bayi.

“Apabila sampai, saya jumpa tertuduh di ruang makan, nampak tangan dia berdarah dan dia beritahu luka ketika cuba membuka pintu bilik (terbakar).

“Saya lihat wajah dia tak nampak sedih, tak menangis sebab tak ada air mata cuma gelisah mahu ke atas (bilik terbakar),” katanya.

Prosiding perbicaraan bersambung 8 November depan.

SHAH ALAM 04 OKTOBER 2019. Balu Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar hadir perbicaraan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan di Kompleks Mahkamah Shah Alam. NSTP/SAIRIEN NAFIS
Berita Harian X