Jumaat, 4 Oktober 2019 | 6:53pm
BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (dua dari kanan) hadir pada prosiding berhubung hujahan akhir kes pendakwaan rasuah RM2 juta di Mahkamah Tinggi Jenayah 2, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (dua dari kanan) hadir pada prosiding berhubung hujahan akhir kes pendakwaan rasuah RM2 juta di Mahkamah Tinggi Jenayah 2, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Keputusan kes rasuah RM2 juta Tengku Adnan 14 Oktober

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang didakwa menerima rasuah RM2 juta, mengetahui bahawa nilai itu adalah rasuah yang berkaitan dengan tugas rasminya.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, dalam hujahnya berkata elemen penting yang ingin dikemukakan pendakwaan adalah berhubung pengetahuan Tengku Adnan terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

Julia yang berhujah di akhir kes pendakwaan, berkata Tengku Adnan adalah penjawat awam yang mendapat satu barang berharga untuk diri sendiri tanpa balasan.

Hujahnya, tindakan Pengarah Urusan syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd (Aset Kayamas), Tan Sri Chai Kin Kong, 60, memberi RM2 juta (barangan berharga) itu mempunyai kaitan dengan urusan rasmi Tengku Adnan sebagai menteri.

“Saksi ke-19 pendakwaan (Kin Kong) memberi keterangan bahawa surat permohonan untuk membangunkan RUMAWIP (Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan) dihantar secara ‘personal’ (persendirian) kepada tertuduh (Tengku Adnan).

“Itu adalah ‘knowledge’ (pengetahuan) yang ditimbulkan di mana tertuduh mempunyai pengetahuan berkenaan perkara itu,” hujahnya.

Tambah Julia, elemen yang perlu dibuktikan pendakwaan adalah ‘knowledge’ (pengetahuan) tertuduh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, mempunyai tugas rasmi dengan RUMAWIP.

“Pendakwaan perlu buktikan sama ada RM2 juta diterima oleh tertuduh sendiri. Apa yang disiasat pegawai penyiasat (Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhamad Saad Bordani) dalam kes ini, RM2 juta masuk ke akaun syarikat.

“Tetapi, tiada pengeluaran daripada jumlah itu kepada UMNO dan kegiatan berkaitan UMNO, seperti yang terdapat dalam keterangan saksi kelima pendakwaan (Penolong Pengurus Akaun dan Kewangan Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB), Rabiatul Adawiyah Sobri),” katanya.

Dalam hujahnya, Julia berkata isu dibangkitkan peguam mewakili Tengku Adnan iaitu Datuk Tan Hock Chuan, berhubung Kin Kong yang menjelaskan dalam keterangannya bahawa RM2 juta itu untuk sumbangan politik, adalah sekadar penyataan semata-mata oleh anak guamnya kepada saksi ke-19 itu.

Terdahulu, Hock Chuan dalam hujahnya, berkata tidak wujud kes prima facie dalam pendakwaan yang membabitkan rasuah berjumlah RM2 juta dihadapi Tengku Adnan.

Hujahnya, Kin Kong dalam keterangannya sebelum ini berkata, sumbangan politik adalah sebagai peruntukkan jentera UMNO dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar (Selangor) dan Kuala Kangsar, Perak.

“Dalam keterangan, Kin Kong menyatakan sumbangan RM2 juta dibuat selepas Tengku Adnan membuat permintaan (sumbangan) daripada saksi ke-19 itu.

“Dalam keterangannya (Kin Kong) Tengku Adnan ada memberitahu saksi bahawa UMNO memerlukan dana politik lebih kurang RM5 hingga RM6 juta untuk (PRK),” katanya.

“Keterangan Kin Kong bertentangan dengan pertuduhan yang dikenakan kepada anak guam saya kerana saksi jelas memberitahu mahkamah bahawa RM2 juta adalah untuk sumbangan politik bagi membiayai PRK,” hujahnya.

Tambah Hock Chuan, pihak pendakwaan bagaimanapun tidak mencabar bukti itu dalam pemeriksaan semula.

Sebelum ini, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas.

Wang berkenaan didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik THSB yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan sepanjang 12 hari perbicaraan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 14 Oktober depan untuk keputusan di akhir kes pendakwaan.

Berita Harian X