Isnin, 7 Oktober 2019 | 11:14am
AHLI Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming. NSTP/Muhaizan Yahya

Nga Kor Ming ke Bukit Aman esok

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming akan dipanggil ke Bukit Aman esok bagi dirakam keterangan berhubung isu kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata ia bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.

“Nga Kor Ming akan dipanggil untuk dirakam percakapan di Bukit Aman, esok. Buat masa ini siasatan masih berjalan dan apabila selesai, kita akan serahkan kertas siasatan kepada Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Sains Forensik Untuk Agensi Penguat Kuasa di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras di sini, pagi ini.

Akhir bulan lalu, tersebar satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor.

Hantaran yang ditulis dalam bahasa Cina itu mendapat kecaman pelbagai pihak.

Polis yang menerima beberapa laporan berhubung perkara itu membuka siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Sebelum ini, Kor Ming yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, menafikan beliau ada kaitan dengan hantaran berkenaan dan mendakwa akaun Facebook itu adalah akaun palsu.

Berita Harian X