Isnin, 7 Oktober 2019 | 11:30am

Bekas CEO SSM didakwa subahat terima rasuah RM250,000

IPOH: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abdul Wahab Fenner, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan bersubahat menerima rasuah berjumlah RM250,000 di sini pada Mei tahun lalu.

Turut didakwa, anaknya, Abdulazeez Wan Ruslan, 33, yang didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM250,000.

Zahrah, 60, dan Abdulazeez mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Zahrah didakwa bersubahat atas perlakuan Abdulazeez yang menerima satu suapan wang tunai berjumlah RM200,000 daripada Samhan Adnan, yang didepositkan secara tunai ke dalam akaun Maybank Islamic miliknya di Maybank Islamic Bhd cawangan Menglembu di sini pada 18 Mei tahun lalu.

Tindakan itu adalah sebagai upah kepada Abdulazeez untuk memastikan tertuduh sebagai CEO SSM, meluluskan memo dalaman bagi Bahagian Kewangan dan Akaun Seksyen Pelaburan dan Pengurusan Kewangan bertajuk Pemilikan Kepentingan Saham Keutamaan ‘Preference Shareholder’ Syarikat Ace Holding Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, Zahrah didakwa bersubahat dengan Abdulazeez yang menerima satu suapan wang tunai berjumlah RM50,000 daripada Samhan Adnan, yang didepositkan secara tunai ke dalam akaun sama di bank sama, pada 25 Mei tahun lalu.

Zahrah didakwa mengikut Seksyen 28 (1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 23 akta sama, yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, bagi kedua-dua pertuduhan.

Abdulazeez pula didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM250,000 dan didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(a) akta sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 18 dan 25 Mei tahun lalu dengan menerima suapan berjumlah RM200,000 dan RM50,000 yang didepositkan oleh Samhan Adnan ke dalam akaun bank miliknya di lokasi sama.

Tindakan itu adalah sebagai upah kepadanya bagi memastikan Zahrah yang juga ibunya sebagai CEO SSM, meluluskan memo dalaman bagi Bahagian Kewangan dan Akaun Seksyen Pelaburan dan Pengurusan Kewangan bertajuk Pemilikan Kepentingan Saham Keutamaan ‘Preference Shareholder’ Syarikat Ace Holding Bhd.

Sabit kesalahan dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahidah Jalaluddin, di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Zahrah dan anaknya diwakili barisan peguam, Shahir Abdul Razak, Shahful Nazrin Abdul Rahim, Mohd Faizal Mohd Aris dan Dorina Abdullah.

Nurul Wahidah kemudian memohon kepada mahkamah untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen 9, Kompleks Mahkamah Jalan Duta bagi membolehkan kes berkenaan dibicarakan bersama 33 kes lain yang dihadapi kedua-dua tertuduh pada 2 Oktober lalu.

Indra Nehru membenarkan permohonan itu dan menetapkan tiada jaminan dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh kerana kes akan dikendalikan di mahkamah berasingan bersekali dengan 33 pertuduhan lain yang dihadapi kedua-dua tertuduh sebelum ini.

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ipoh atas dua pertuduhan bersubahat dengan anak lelakinya menerima rasuah berjumlah RM250,000. - Foto NSTP/Abdullah Yusof
Berita Harian X