Isnin, 7 Oktober 2019 | 11:39am
NAZIR Razak

1MDB: Nazir Razak antara individu terima notis kompaun

PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Mohamed Nazir Razak, dipercayai menerima wang berjumlah RM25.7 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disalah guna.

Perkara itu didedahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, ketika mengumumkan senarai 80 individu dan entiti yang akan menerima notis kompaun kerana dipercayai menerima dana daripada 1MDB.

Beliau berkata, Mohamed Nazir yang juga adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah antara individu menerima jumlah wang tertinggi daripada senarai 80 penerima terbabit.

Katanya, bagi syarikat pula, penerima wang tertinggi ialah Solar Shine Sdn Bhd yang menerima RM134 juta.

“Penerima kompaun perlu menjelaskannya dalam tempoh dua minggu selepas notis dikeluarkan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM.


KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya ketika sidang media berhubung tindakan terkini kes 1MDB di Putrajaya, turut kelihatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah Pengubahan Wang Haram & Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin (kanan). - Foto Mohd Fadli Hamzah

Notis kompaun terhadap semua pihak terbabit dikeluarkan mengikut Seksyen 92 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Turut menerima notis ialah bekas Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan dan bekas menteri, Tan Sri Shahrir Samad.

Turut berada dalam senarai ialah Puteri UMNO Malaysia, Badan Perhubungan UMNO Perak dan Pulau Pinang, 15 UMNO bahagian, MIC, Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor, Parti Rakyat Sarawak, GERAKAN Kedah dan Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Kedah.

Organisasi yang turut menerima wang berkenaan ialah Koperasi Belia 1Malaysia Wilayah Persekutuan Berhad, MASCOM Communications, IPF Building Fund serta Badan Rekreasi dan Komuniti Pengerang, selain 23 syarikat.

Keseluruhan wang yang disyaki diterima semua 80 individu dan entiti terbabit dianggarkan RM420 juta, dengan masing-masing menerima antara RM100,000 hingga RM134 juta.

Berita Harian X