Isnin, 7 Oktober 2019 | 1:58pm
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Mencurigai Jho Low ketika beri keterangan kes 1MDB - Shahrol Azral

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, tidak pernah meragui Jho Low sehingga siasatan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula pada 2015.

Shahrol Azral, 49, ketika disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada sesi pemeriksaan balas, berkata perasaan curiga mula timbul selepas ditunjukkan dokumen aliran wang syarikat itu, ketika memberi keterangan mengenainya kepada pihak berkuasa.

Saksi pendakwaan kesembilan itu bagaimanapun berkata, beliau tidak ingat sama ada keterangan itu dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengimbas pertemuannya dengan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho, saksi berkata ia berlaku pada 2007 yang ketika itu ahli perniagaan dalam buruan polis itu adalah salah seorang pelanggannya.

Menurut saksi, ketika itu beliau bekerja perunding di firma perunding Accenture, manakala Jho Low (ketika itu) pula Pengarah Urusan di Utama Banking Group (UBG).

Katanya, kali pertama bertemu, tanggapannya terhadap Jho Low adalah beliau seorang petah berbicara, cepat faham dengan isu yang dibincangkan dan mempunyai pengetahuan dalam tugasnya.

“Pandangan pertama saya, Jho Low sering lewat setiap kali kami mengadakan pertemuan, tetapi beliau seorang yang pandai bercakap dan cepat faham.

“Seingat saya, sebelum mengadakan pertemuan, Jho Low menghantar pesanan ringkas kepada saya menyatakan hasratnya untuk bertemu.

“Ia bertujuan mengadakan perbincangan berhubung syarikat (UBG) berkaitan projek bernilai jutaan ringgit,” katanya

Shahrol Azral berkata, seingat beliau, Jho Low memperoleh nombor telefonnya daripada seorang teman ketika di Stanford University Amerika Syarikat (AS), yang dikenali sebagai Azran.

Saksi itu dalam keterangan sebelum ini berkata, Jho Low menjemputnya menyertai Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) selepas bekerjasama dalam projek membabitkan UBG.

Shahrol Azral berkata, Jho Low melihatnya sebagai seorang yang mendengar arahan dan tidak banyak soal dan ia berkemungkinan adalah penyebab beliau (saksi) dijemput menyertai TIA.

Muhammad Shafee: Berdasarkan penyata saksi, kamu menyatakan Jho Low membuat penilaian ke atas karakter kamu. Boleh jelaskan?

Shahrol Azral: Kemungkinan Jho Low melabel saya sebagai... agak sukar untuk saya cari perkataan yang sesuai dan apa yang ada dalam fikiran saya bukan ‘kepochi’ atau kata lain ‘busybody’ (penyibuk).

Muhammad Shafee: Adakah Jho Low suka dengan ‘watak’ kamu yang hanya mendengar arahan... dan tidak tahu apa pengakhirannya?

Shahrol Azral: Tidak. Saya mendengar arahan dan dapatkan maklumat untuk peroleh hasil (kerja) yang baik. Saya juga akan meminta individu yang saya percaya untuk semak semula.

Sementara itu, Shahrol Azral mengakui beliau pernah dikenakan larangan perjalanan ke luar negara, bagaimanapun tidak mengetahui kenapa disenarai hitam dan tidak pernah bertanya pihak berkuasa alasannya.

Katanya, beliau mengandaikan ia disebabkan isu 1MDB yang terbongkar dan dilaporkan media, lebih-lebih lagi beliau antara pengurusan kanan syarikat terbabit.

Shahrol Azral juga berkata, Boston Consulting Group dilantik bagi merangka penubuhan TIA yang bekerjasama dengan firma pengurusan pelaburan Goldman Sachs Global (GS Global).

Beliau berkata, penubuhan TIA adalah bagi mewujudkan pembangunan lestari untuk Terengganu dan ke seluruh negara yang memfokuskan kepada industri minyak dan gas, pelancongan, hartanah dan pertanian.

Sementara itu, Muhammad Shafee mencadangkan bahawa Najib tidak terbabit dengan penubuhan TIA sejak dari awal lagi kerana firma Golman Sachs Global sebelum itu sudah dikenal pasti sebagai rakan kerjasama berpotensi bagi lembaga pelaburan itu, selain daripada syarikat perunding Boston Consulting, JP Morgan dan McKinsey.

Shahrol Azral bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Najib tidak terbabit dengan penubuhan TIA dan bersetuju bahawa idea penubuhan TIA ialah daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Muhammad Shafee seterusnya mencadangkan bahawa idea TIA bermula apabila Jho Low membawa Yang di-Pertuan Agong untuk menyaksikan Dana Berdaulat Abu Dhabi Mubadala Investment Co, dan Najib langsung tidak terbabit pada ketika itu.

Shahrol Azral bagaimanapun menjawab; "Tidak tahu sebab saya tidak tahu apa yang dinyatakan oleh Jho Low kepada Najib."

Berita Harian X