Isnin, 7 Oktober 2019 | 2:05pm

Peguam Negara belum putuskan beri keterangan prosiding komital

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner hari ini dimaklumkan Peguam Negara belum menyatakan akan memberi keterangan dalam perbicaraan permohonan komital terhadap beliau membabitkan kes inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Peguam mewakili keluarga Allahyarham Mohd Adib, Hanif Khatri Abdulla, berkata perkara itu akan diketahui sebelum perbicaraan kes itu bermula.

“Peguam Negara belum menetapkan sama ada pihaknya akan menggunakan dua afidavit yang difailkan sebelum ini atau memberi keterangan dalam kotak saksi atau gabungan kedua-dua kaedah itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan Peguam Kanan Persekutuan untuk menangguhkan prosiding kes komital itu, pagi tadi.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy, memberitahu mahkamah, ketika ini pihaknya hanya menerima arahan akan menggunakan dua afidavit yang difailkan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan bekas pengendali inkues, Hamdan Hamzah sebelum ini.

“Berhubung permohonan substantif, kami sudah menghantar surat pada 30 September lalu kepada Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate untuk memaklumkan responden terima pakai menggunakan dua afidavit sebelum ini.

“Kami pohon satu tarikh singkat untuk penggantungan prosiding,” katanya.

Koroner Rofiah Mohamad kemudian menetapkan 21 Oktober ini sebagai tarikh mendengar permohonan penggantungan perbicaraan komital itu.

Pada 16 Julai lalu, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, memfailkan permohonan perintah komital kepada Thomas kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Berita Harian X