Isnin, 7 Oktober 2019 | 3:55pm
Ahmad Maslan menafikan beliau menerima wang yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Ahmad Maslan nafi terima wang 1MDB

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan menafikan beliau menerima wang yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Timbalan Menteri Kewangan pada tahun 2013 hingga 2015 itu berkata, beliau tidak pernah menerima cek daripada 1MDB.

"Saya disiasat dua pihak berhubung dakwaan saya menerima wang dikatakan berkaitan 1MDB. Pertama, siasatan oleh pihak polis dan kedua oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

"Namun saya memberitahu mereka saya tidak pernah menerima cek dengan jumlah yang ditunjukkan salinan cek kepada saya oleh pihak polis dan pihak SPRM.

"Saya juga menandatangani dokumen polis dan SPRM saya tidak pernah menerima wang seperti yang dinyatakan. Saya akan berbincang dengan peguam untuk tindakan seterusnya," katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, hari ini mengumumkan senarai 80 individu dan entiti yang akan menerima notis kompaun kerana dipercayai menerima dana daripada 1MDB.

Bekas Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Mohamed Nazir Razak, dipercayai menerima wang berjumlah RM25.7 juta daripada 1MDB yang disalah guna.

Berita Harian X