Isnin, 7 Oktober 2019 | 11:08pm
Shahrol Azral hadir pada perbicaraan bagi kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB oleh Najib di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Jho Low suruh padam semua komunikasi untuk lindungi The Boss - Shahrol Azral

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, mengarahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk memadamkan semua komunikasi antara mereka bagi melindungi ‘The Boss’.

Shahrol Azral, 49, yang juga saksi pendakwaan kesembilan dalam keterangannya berkata ‘The Boss’ yang dimaksudkan oleh Jho Low merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak.

Saksi itu berkata, Jho Low mengarahkan beliau untuk memadamkan semua bukti komunikasi elektronik dan memusnahkan dokumen termasuk e-mel dan log perbualan Blackberry Messenger (BBM) antara mereka.

“BBM ketika itu adalah komunikasi atas talian paling selamat dan Jho Low menghadiahkan saya telefon bimbit Blackberry,” katanya.

Menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pada sesi pemeriksaan balas berhubung tindakan Jho Low menghadiahkannya telefon itu, Shahrol Azral menjawab; “Beliau mengetahui saya menyukai teknologi.

“Jho Low juga mahukan pasukannya berkomunikasi secara selamat.

“Pada 2014 apabila keadaan menjadi semakin tegang (apabila semua pihak memperkatakan mengenai 1MDB), kami akan menggunakan BBM dan Skype untuk panggilan telefon.

“Jho Low beritahu, hanya komunikasi BBM yang tidak boleh dikesan,” katanya.


Gambar fail, Jho Low.

Sementara itu, Shahrol Azral menafikan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau menerima ugutan untuk menyatakan apa yang dikemukakannya di mahkamah.

Shahrol Azral juga menafikan beliau pernah diugut untuk dikenakan tindakan pelucutan hak sivil kerana cuai dalam pengurusan 1MDB.

Muhammad Shafee:Adakah akaun bank kamu dibekukan?

Shahrol Azral: Hanya akaun Maybank saya untuk dua bulan dibekukan iaitu pada bulan Jun atau Mei 2018.

Muhammad Shafee: Bila kamu tahu?

Shahrol Azral: Saya hanya mengetahui akaun dibekukan ketika mahu membuat pembayaran bil secara dalam talian. Saya kemudian menghubungi pihak bank dan mereka memberikan saya nombor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dihubungi. Mereka menyarankan saya untuk menulis kepada SPRM untuk memohon supaya akaun berkenaan tidak dibekukan.

Muhammad Shafee: Adakah harta kamu disita?

Shahrol Azral: Tidak

Muhammad Shafee: Ada mana-mana pihak memulakan prosiding pelucutan hak terhadap kamu?

Shahrol Azral: Tidak.

Muhammad Shafee: Adakah sesiapa daripada SPRM mengugut bahawa kamu boleh didakwa atas kecuaian pengurusan 1MDB?

Shahrol Azral: Tidak.

Shahrol Azral berkata, bagaimanapun pada penghujung 2018, Ashwin J Valiram, yang juga salah seorang Ahli Lembaga Pengarah 1MDB menghubunginya dan memberitahu bahawa Kementerian Kewangan merancang untuk mengambil tindakan terhadap pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB.

Saksi itu berkata, beliau tidak mengesahkan perkara itu daripada kementerian.

Ditanya Muhammad Shafee apa tindakan yang diambil kementerian terhadap 1MDB, saksi itu menjawab: “Belum lagi, kita tak tahu apa akan jadi nanti.”

Ditanya sama ada beliau bimbang dengan caranya menjawab soalan di mahkamah dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadapnya, Shahrol Azral menegaskan beliau tidak bimbang kerana menyatakan apa yang benar.

Saksi itu turut memberitahu mahkamah, beberapa pihak dalam UMNO dengki dengan Jho Low kerana mempunyai pengaruh dan ada akses terhadap Najib.

Beliau berkata, Jho Low sehubungan itu mahukan pembabitannya dalam 1MDB tidak terlalu menonjol supaya tidak menjejaskan Najib dalam UMNO.

Muhammad Shafee: Kamu dan Tan Sri Ismee Ismail (bekas Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB) secara terbuka melantik Jho Low sebagai penasihat, maknanya tiada masalah imej Jho Low tidak boleh ditonjolkan?

Shahrol Azral: Ya.

Muhammad Shafee: Bila ia menjadi masalah?

Shahrol Azral: Ini pemerhatian saya, ia mula menjadi masalah apabila Najib menjadi pemegang saham dalam 1MDB. Jadi masuk akal apabila Jho Low beritahu saya pembabitannya tidak boleh ditonjolkan supaya tidak menjejaskan Najib.

Shahrol Azral berkata, tidak ramai yang mengetahui pembabitan Jho Low dalam hubungan Najib dan Arab Saudi, Abu Dhabi serta China di antara tahun 2009 dan 2011.

Saksi bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau meyakini ia adalah Jho Low yang 'membuka pintu' kepada ketiga-tiga negara itu.

Berita Harian X