Selasa, 8 Oktober 2019 | 2:55pm
Timbalan Speaker Negeri Perak Nga Kor Ming hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membantu siasatan kes hasutan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini. - Foto Rosdan Wahid

Polis rakam keterangan Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, hadir ke Bukit Aman hari ini untuk dirakam keterangan berhubung satu kenyataan didakwa berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dimuat naik melalui satu hantaran di akaun Facebook.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu hadir dengan menaiki kenderaan rasmi, PROTON Perdana jam 1.25 tengah hari.

Beliau diiringi Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; peguam yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar dan beberapa pemimpin DAP Perak dan Bukit Bintang.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, dilaporkan berkata Kor Ming akan dipanggil ke Bukit Aman hari ini bagi dirakam keterangan berhubung kes berkenaan.

Ia bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan berhubung kes terbabit susulan laporan polis yang dibuat pengiring Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, pada 1 Oktober lalu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Pada 29 September lalu, hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor, tersebar di media sosial.

Hantaran yang ditulis dalam bahasa Cina itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak.

Bagaimanapun, Kor Ming menafikan beliau ada kaitan dengan hantaran berkenaan dan mendakwa akaun Facebook itu adalah akaun palsu.

Berita Harian X