Selasa, 8 Oktober 2019 | 8:45pm
PembeliMohd Isa hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan atas 10 pertuduhan pecah amanah dan menerima rasuah berhubung pembelian hotel di Sarawak. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
PembeliMohd Isa hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan atas 10 pertuduhan pecah amanah dan menerima rasuah berhubung pembelian hotel di Sarawak. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Pembelian Merdeka Palace melebihi nilai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, berjumlah RM160 juta oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), jauh lebih mahal dari nilai semasa yang dianggarkan RM80 juta pada 2017.

Pemangku Ketua Pegawai Kewangan FELDA, Azlan Mohamed Ismail, 51, memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi di sini, yang mendengar perbicaraan terhadap bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad, berhubung satu kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang dihadapinya, lima tahun lalu.

Azlan berkata, pada 2017 pihak Lembaga Pengarah FICSB iaitu anak syarikat FELDA mengarahkan satu penilaian semula dibuat oleh Syarikat CH Williams Talhar Wong & Yeo Sdn Bhd.

“Penilaian dilakukan itu mendapati berlaku sorot nilai pembelian MPHS menyumbang kepada kerugian tidak disedari berjumlah RM82.5 juta kepada FICSB,” katanya.

Saksi keempat pendakwaan itu berkata demikian ketika sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz di hadapan Hakim Mohd Nazlan Ghazali.

Azlan berkata, satu tender bagi penjualan MPHS dibuat oleh Saville Malaysia Sdn Bhd pada 2018 dan dua tawaran pembelian diterima dengan harga dianggarkan pada RM69 juta dan RM85 juta.

“Bagaimanapun, tawaran pembelian RM85 juta ditarik balik manakala tawaran RM69 juta dinaikkan kepada RM77.5 juta,” katanya.

Dalam keterangannya, Azlan berkata kerugian tidak disedari dinyatakan dalam Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2016 dan Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2018.

“Ahli Lembaga FICSB bagaimanapun mengarahkan hotel itu dinilai semula. Ia dibuat Pengerusi FELDA sebelum ini, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan sembilan pengarah yang baru dilantik.

“Sembilan pengarah itu tidak termasuk Mohd Isa. Pun begitu, saya tidak pasti Ahli Lembaga FICSB yang membuat keputusan untuk membeli MPSH kerana tak hadiri dalam mesyuarat ini,” katanya.

Terdahulu, dalam prosiding sama bekas Pengarah Kewangan FELDA, Mohd Shahrin Mohd Ali, 50, memberitahu Jabatan Kewangan FELDA tidak mengetahui pembelian MPHS oleh FICSB bernilai RM160 juta sebenarnya tidak mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah FELDA.

Mohd Shahrin berkata, surat permohonan daripada FICSB untuk mendapatkan wang pendahuluan RM1 juta dan RM1. 88 juta bagi pembelian hotel itu tidak dinyatakan mengenai kelulusan pembelian hotel itu.

Saksi pendakwaan ketiga itu yang kini bertugas sebagai Pengarah Unit Transformasi FELDA, berkata FICSB perlu mendapatkan kelulusan untuk pembelian atau pelaburan itu.

“Walaupun pendahuluan diberikan, masih perlu dapatkan kelulusan kerana ia dua perkara berbeza. Kelulusan untuk pembelian (hotel) dan kedua adalah kelulusan pendahuluan pinjaman.

“Jabatan Kewangan FELDA tidak akan meluluskan pembayaran pendahuluan itu kepada FICSB sekiranya tahu pembelian hotel itu tidak mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah FELDA,” katanya.

Katanya, mengikut amalan di Jabatan Kewangan FELDA, jika kelulusan tidak diperoleh, kebiasaannya ahli lembaga akan bincang dengan pengurusan sebelum dirujuk kepada Pengarah Besar FELDA atau timbalannya.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Beliau dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Isa juga dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Berita Harian X