Selasa, 8 Oktober 2019 | 10:09pm
Muhammad Zarith maut selepas merempuh van di Jalan Tunku Putera, berhampiran sebuah stesen minyak di Kampung Dusun, Kulim, petang tadi. - Ihsan pembaca

Anggota polis maut dilanggar van

KULIM: Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh van di Jalan Tunku Putera, berhampiran sebuah stesen minyak di Kampung Dusun di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.51 petang, Lans Koperal Muhammad Zarith Mat Rizan, 27, yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) parah pada bahagian badan dan kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusof Shaari, berkata mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dikatakan dalam perjalanan dari arah Kilang Lama menuju ke Kulim, manakala van terbabit datang dari arah bertentangan.

Katanya, pemandu van berusia 34 tahun dipercayai cuba membelok ke arah kanan jalan dan terus memasuki laluan bertentangan menuju ke stesen minyak berhampiran.

“Anggota URB yang bergerak lurus gagal mengelak van terbabit menyebabkan berlaku pelanggaran antara kedua-dua kenderaan.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa maut di lokasi, manakala pemandu van tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X