Rabu, 9 Oktober 2019 | 1:52pm
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. - Foto Zunnur Al Shafiq

Bon TIA: 1MDB, PERKESO rugi, syarikat kaitan Jho Low untung

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengalami kerugian berikutan penerbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) oleh Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) bernilai RM5 bilion.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata terbitan bon itu bagaimanapun menguntungkan Aktis Singapore Pvt Ltd (Aktis), yang didakwa ada kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian ketika menjawab cadangan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Datuk Seri Najib Razak.

Dalam prosiding perbicaraan semalam, Shahrol Azral memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak pernah mengetahui terdapat dua syarikat berkaitan Jho Low yang menjadi pelanggan sekunder terhadap bon 1MDB pada 2009.

Katanya, dua syarikat itu ialah Aktis Singapore Pvt Ltd yang mana Jho Low adalah benefisiari manakala bapanya, Larry Low, didakwa memiliki Country Group.

Dalam prosiding hari ini, Muhammad Shafee mencadangkan bahawa TIA menerbitkan bon RM5 bilion dan sepatutnya mendapat pulangan RM5 bilion, bagaimanapun Ambank selaku ejen tawaran memberitahu ia tidak boleh dijual pada nilai muka.

Menurut Muhammad Shafee, bon itu dijual kepada Aktis yang kemudian meminta Ambank menjadi ejen tawaran dan menawarkan bon itu di pasaran.

Peguam itu berkata, Ambank boleh menawarkan bon berkenaan pada nilai muka dan seterusnya memberikan keuntungan kepada Aktis.

Muhammad Shafee merujuk saksi kepada surat antara Ambank dan Aktis yang mengesahkan bahawa jumlah bersih dibayar kepada syarikat itu berjumlah RM74.62 juta.

Peguam itu membacakan kandungan surat, bahawa Ambank menyatakan Aktis melanggan bon itu pada harga RM617 juta di mana syarikat melantik Ambank sebagai ejen tawaran yang kemudian membantu Aktis menjualnya pada nilai muka berjumlah RM700 juta.

Menurut Muhammad Shafee lagi, penjualan itu membawa kepada keuntungan dagangan berjumlah RM83 juta dan cadangan beliau itu dipersetujui oleh Shahrol Azral.

Muhammad Shafee: Siapa yang rugi?

Shahrol Azral: 1MDB

Muhammad Shafee: Mereka membuat keuntungan daripada transaksi ini?

Shahrol Azral: Ya

Muhammad Shafee: 1MDB rugi, Ambank hanya dapat bayaran dalam RM700,000. Kita tidak tahu siapa dalam Ambank yang berkonspirasi dengan Aktis untuk membuat keuntungan ini?

Shahrol Azral: Ya

Berita Harian X