X
Rabu, 9 Oktober 2019 | 3:45pm
Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Isa tidak maklum BOD FELDA mengenai pembelian hotel - Hanapi

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad, tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah (BOD) bagi pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta oleh FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Dia juga juga tidak mendapatkan ratifikasi pembelian hotel itu mengikut had pelaburan RM100 juta seperti yang ditetapkan dalam Mesyuarat Ahli BOD FELDA.

Bekas Pengarah Besar FELDA, Datuk Hanapi Shuhada, 62, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, tiada kelulusan diminta BOD FICSB dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah bagi pembelian MPHS yang turut dihadiri Mohd Isa selaku Ahli BOD, pada 23 Jun dan 4 Ogos 2015.

“Isa mempengerusikan Mesyuarat Ahli BOD dan boleh membuat keputusan dalam mesyuarat itu, Pengerusi Felda (Isa) boleh tentukan sekiranya kertas kerja cadangan boleh dibentangkan dalam mesyuarat BOD.

“Saya sahkan perkara itu kerana saya turut hadir dalam mesyuarat itu,” katanya.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, pada hari ketiga perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta Isa di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Afzainizam: Adakah pengerusi FELDA boleh tentukan sama ada kertas kerja boleh dibentangkan dalam mesyuarat BOD FELDA?

Hanapi: Boleh.

Afzainizam: Adakah kamu akan bantah sekiranya Pengerusi FELDA tidak membenarkan kertas kerja dibentangkan di mesyuarat?

Hanapi: Sekiranya perlu, saya akan bagi pandangan kemudian saya akur dengan keputusan Pengerusi FELDA.

Afzainizam: Sepanjang dilantik sebagai BOD FELDA, pernahkah mandat pelaburan RM100 juta ini dimansuhkan atau ditarik balik?

Hanapi: Tidak pernah.

Semalam, semasa membacakan penyataan saksi, Hanapi mengesahkan salinan Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA Bilangan 328 bertarikh 23 Jun 2015 dan Bilangan 329 pada 4 Ogos 2015.

“Minit ini dicatat oleh Setiausaha Lembaga FELDA, Erwan Aman dan ditandatangani oleh Tan Sri Isa. Saya cam tandatangan Tan Sri Isa pada muka surat akhir minit ini.

“Mesyuarat itu membincangkan mengenai bayaran pendahuluan RM100 juta kepada FICSB bagi membiayai projek MPHS dan cadangan kaedah bayaran balik pendahuluan ini,” katanya.

Sementara itu, Hanapi bersetuju dengan peguam Datuk Sallehudin Saidin yang mewakili Isa bahawa Prosedur Operasi Standard (SOP) di FICSB hanya diwujudkan selepas isu pembelian hotel berkenaan timbul.

Kata Hanapi, sebelum ini BOD FICSB membuat keputusan mengikut cara tersendiri.

“Tiada SOP kertas kerja atau keputusan ditetapkan bagi pembelian melebihi syarat dasar pelaburan RM100 juta untuk dibawa ke Lembaga FELDA.

“Terpulang pada anak syarikat termasuk FICSB untuk maklumkan permohonan sedang dibuat atau untuk mendapatkan kelulusan,” katanya.

Pada 14 Disember 2018, Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak.

Dia dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Isa juga dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Berita Harian X